TIGA CABANG PKR SABAH UNDI SEMULA

 

Tiga cabang PKR di Sabah akan mengadakan pemilihan semula pada Sabtu dan Ahad ini.

Berdasarkan notis dikeluarkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) semalam, dua cabang iaitu Keningau dan Tawau mengadakan pemilihan pada Sabtu, manakala pemilihan semula satu lagi cabang iaitu Pensiangan pada Ahad.

Pemilihan bagi cabang Keningau diadakan di Dewan Badminton, Kompleks Sukan Keningau, manakala pemilihan di Pensiangan di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Nabawan.

Bagi cabang Tawau, pemilihan semula ditetapkan di Dewan Badminton, Kompleks Sukan Tawau dengan tempoh pemilihan di ketiga-tiga cabang bermula jam 9 pagi hingga 4 petang.

Penyelaras PKR Sabah, Rosli Masaliku, ketika dihubungi mengesahkan pemilihan semula itu dibuat selepas pihak JPP menerima bantahan berhubung pemilihan di cabang terbabit pada Sabtu dan Ahad lalu.

“Sebenarnya ada banyak bantahan diterima dan laporan polis dibuat berkaitan pemilihan pada Sabtu dan Ahad lalu, tetapi setakat ini JPP hanya mengarahkan tiga cabang itu saja mengadakan pemilihan semula.

“Kalau di Keningau, kita memang tahu status pemilihan pada Sabtu lalu yang kecoh hingga memaksa proses pemilihan ditangguhkan, tetapi sebenarnya kawasan lain khususnya Pensiangan dan Tawau juga timbul isu,” katanya kepada sebuah portal dalam talian, Khamis.

Pada Sabtu lalu, calon Timbalan Presiden, Rafizi Ramli membuat laporan polis mendakwa diserang ketika hadir di Dewan Kampung Merampong, Keningau yang menjadi lokasi pemilihan cabang Keningau.

Di Pensiangan pula, proses pengundian yang dilaporkan berlarutan hingga melebihi tempoh ditetapkan pada Ahad lalu menyebabkan timbul rasa tidak puas hati segelintir ahli PKR kawasan itu hingga ada yang membuat laporan polis.

Difahamkan, di Tawau timbul bantahan berhubung pemilihan cabang itu pada Sabtu lalu menyebabkan pihak JPP membuat keputusan untuk mengadakan pemilihan semula.

 

Wartawan Watan-Online

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.