AMARAN JANGAN SOROK BEKALAN PADA MUSIM TENGKUJUH – SAIFUDDIN

 

Kerajaan memberi amaran kepada semua pembekal dan peniaga supaya jangan menyorok bekalan barangan asas serta makanan pada musim tengkujuh ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau tidak menolak kemungkinan akan ada pihak mengambil kesempatan bagi mengaut keuntungan mudah.

“Kita akan memantau perkara ini bagi memastikan tiada peningkatan harga barangan keperluan.

“Stok bekalan gula, minyak masak, tepung dan beras antara barangan yang mungkin akan disorok segelintir peniaga tidak bertanggungjawab.

“Apabila bekalan di pasaran kurang, peniaga akan naikkan harga kononnya permintaan tinggi, tetapi bekalan kurang,” katanya pada sidang media selepas melancarkan kad ‘AEON Member Plus Visa’ dan Aplikasi ‘AEON Wallet’ di pusat beli belah AEON di Shah Alam pada Khamis.

Saifuddin berkata, pihaknya memberi jaminan bekalan barangan keperluan dan makanan mencukupi pada musim tengkujuh ini.

“Jika ada peniaga yang didapati melakukannya, kita tidak teragak-agak mengambil tindakan ke atas mereka mengikut undang-undang sedia ada.

“Kita akan pastikan tiada mana-mana pihak mengambil kesempatan demi mengaut keuntungan mudah,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.