DRAMA ISTERI UNTUK DISEWA DITEGUR MUFTI

 

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri memberi teguran kepada pengarah produksi drama bersiri Isteri Untuk Disewa yang mula ditayang Isnin lalu ekoran tajuk dan jalan ceritanya kerana hukum menyewa isteri adalah haram di dalam Islam.

Beliau berkata sekiranya difahami secara zahir, tajuk drama tersebut amat bertentangan dengan zahir nas al-Quran dan Sunnah malah bercanggah dengan moraliti manusia sama ada Islam mahupun bukan Islam.

“Tanpa menafikan kebebasan berkarya dalam budaya penggiat seni, kami merasakan bahawa tajuk berkenaan adalah kurang sesuai. Alasan kami jelas, isteri bukan untuk disewa.

“Isteri adalah akad yang sahih dan diperintahkan untuk bergaul dengan baik sebagaimana yang tertera dalam Surah al-Nisa’ ayat 19,” katanya menerusi catatan Qalam Mufti pada Khamis.

Zulkifli Mohamad berkata penamaan tajuk berbaur provokatif itu dikhuatiri akan menjadi ikutan dalam penggiat seni sekiranya tidak dijelaskan dari segi hukum syarak mengenai impaknya terhadap masyarakat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam Islam, isteri tidak boleh dikontrakkan sama ada dalam tempoh jam, hari, minggu atau bulan.

“Isteri adalah amanah Allah kepada suami untuk dimuliakan, dikasihi, disayangi dan diberi hak-haknya seperti termaktub dalam nas al-Quran, hadis dan pandangan fuqaha’.

“Kami yakin, tidak ada sekelumit niat dalam hati penulis novel dan pengarah tersebut untuk membuat sesuatu yang di luar kerangka Islam namun, sewaan isteri jelas sekali adalah sejuzuk daripada cabang mut’ah yang tidak dibenarkan dalam kalangan fuqaha’ Ahli Sunnah wal Jama’ah dan diharamkan dalam Islam,” tambah Zulkifli.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.