PENILAIAN PETRONAS NEGATIF BUKTI PH ‘CEKAP’ – NAJIB

 

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sekali lagi memulangkan paku buah keras kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) berikutan penurunan mendadak taraf penilaian Petronas daripada stabil menjadi negatif.

Beliau berkata perubahan tersebut berlaku hasil ‘kecekapan’ PH mengurus tadbir kewangan negara serta langkah yang diambil dalam Belanjawan 2019.

“Tahniah kerajaan PH, hari ini Moody’s telah “downgrade” outlook atau penilaian prospek Petronas daripada stabil menjadi negatif.

“Ini bermakna penarafan kredit negara pun berkemungkinan besar akan turut dipengaruhi,” katanya melalui kenyataan di Facebook pada Khamis.

Mengulas lanjut, Najib yang juga bekas Menteri Kewangan berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini berusaha mengurangkan kebergantungan kepada hasil minyak dengan mempelbagaikan sumber, berbeza dengan kerajaan PH yang kini menjarah Petronas untuk membayar dividen tinggi bagi menampung kekurangan hasil negara.

Ahli Parlimen Pekan itu turut berkata penarafan negatif oleh firma antarabangsa itu dibuat ketika harga minyak dunia dianggap stabil ketika ini.

Justeru beliau mempersoalkan impak kepada negara sekiranya minyak dunia jatuh ketika mana negara terlalu bergantung kepada hasil Petronas.

“Apa buffer atau penampan yang kita ada untuk nak tampung (kesan yang berlaku) sekiranya berlaku krisis harga minyak sekali lagi?,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.