PH GAGAL SELAMATKAN RIZAB NEGARA – PUTERI

 

Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan menyelar kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang masih gagal memainkan peranan di saat rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) terus menyusut.

Beliau berkata rakyat ternyata tertipu dengan janji menurunkan harga barang kerana yang berlaku kini penurunan nilai ringgit dan harga komoditi.

“Rakyat mahukan harga barang yang turun. Rupanya nilai Ringgit, harga sawit, harga getah yang jatuh teruk. Kekayaan negara yang terkumpul dulu pun makin berkurang.

Apa kerajaan PH buat? Apa peranan menteri-menteri gaji berjuta ringgit setahun?” soal Zahida melalui satu ciapan di laman Twitter pada Jumaat.

Difahamkan rizab antarabangsa BNM menyusut 1.07 peratus kepada RM424.01 bilion setakat 31 Oktober lalu, berbanding RM428.59 bilion pada 15 Oktober lalu.

Semenjak kerajaan PH memegang tampuk pemerintahan, rizab negara menunjukkan penurunan ketara selain aliran keluar dana asing dari pasaran modal yang bertambah ekoran kegusaran pelabur terhadap ketidaktentuan masa depan ekonomi negara pada ketika ini.

Dilaporkan pada 14 Jun lepas, jumlah pelaburan yang dibawa keluar adalah paling tinggi iaitu RM402.2 juta.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.