RASUAH RM5 JUTA : POLIS PANGGIL FARID KAMIL

 

Polis akan mengambil keterangan pelakon, Datuk Farid Kamil Zahari berhubung dakwaan kerajaan Barisan Nasional (BN) pernah merasuah dirinya sebanyak RM5 juta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior, Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, siasatan dilakukan susulan satu laporan polis yang dibuat oleh Presiden Pemantau Malaysia Baharu, Datuk Lokman Noor Adam terhadap Farid berhubung perkara itu.

“Kita menerima satu laporan di Balai Polis Kota Damansara, Petaling Jaya semalam. Berdasarkan laporan ini, Farid dikatakan telah mereka cerita untuk menjatuhkan imej bekas Perdana Menteri.

“Pengadu turut mempersoalkan kenapa Farid tidak melaporkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika benar dirinya telah dirasuah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Media Talk Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), di Shah Alam pada Jumaat.

Fadzil berkata, polis akan menyiasat kes itu mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana melakukan tohmahan atau fitnah.

Semalam Lokman membuat laporan polis terhadap Farid berhubung dakwaan  dalam isu menerima suapan kerajaan BN.

Menurut Lokman, dakwaan Farid itu berat, dan perlu segera disiasat polis.

Katanya, Farid juga dilihat membuat dakwaan palsu selain mahu menghina bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

Di dalam sebuah video yang dimuat naik di Youtube MyFokus Online, ketika program Tv Al Hijrah jam 10 malam kelmarin yang bertajuk ‘Nak jadi artis ke nak jadi ahli politik?’, Farid berkata dirinya cuba dirasuah sebanyak RM5 juta oleh pihak kerajaan terdahulu (Kerajaan BN).

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.