UMNO KEKAL TOLAK ICERD

 

UMNO teguh dengan pendirian untuk menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) setelah perkara tersebut dibincang dengan teliti dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO bersama-sama dengan gagasan pembangkang serta badan bukan kerajaan (NGO) kekal komited untuk menolak ratifikasi yang dianggap tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Perbincangan mengenai perkara ini telah dibincangkan dan Majlis Tertinggi UMNO menolak sepenuhnya ratifikasi ICERD ini.

“Oleh itu UMNO menggesa kerajaan menghentikan langkah-langkah yang akan menjejaskan pembinaan masyarakat yang telah diwujudkan selama ini melalui persefahaman bersama,” katanya dalam satu sidang media di PWTC pada Jumaat.

Polemik isu ratifikasi ICERD bermula apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy menyatakan kerajaan komited meratifikasi konvensyen itu termasuk enam triti hak asasi manusia pada suku pertama tahun hadapan.

Kenyataan Waytha Moorthy mengundang kemarahan rakyat terutamanya kaum Melayu dan Bumiputera berikutan tindakan tersebut bakal memberi kemungkinan kepada pemindaan Perlembagaan Persekutuan termasuk akta yang menjamin keistimewaan kaum Melayu dan Bumiputera.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kemudiannya menegaskan rundingan melibatkan semua kaum akan dilakukan sebelum Malaysia meratifikasi ICERD.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.