WARAN TANGKAP JIKA SHAHIDAN INGKAR

 

Mahkamah Sesyen Kangar mengeluarkan waran tangkap ke atas bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Shahidan Kassim selepas beliau gagal hadir untuk menghadapi pertuduhan jenayah hari ini.

Waran tangkap itu dikeluarkan hakim Johari Abu Hassan selepas beliau menerima permohonan timbalan pendakwa raya, Mohd Nordin Ismail.

Menurut laporan Utusan Online peguam bela Shahidan, Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim berkata pihaknya akan membuat permohonan kepada mahkamah untuk membatalkan waran tangkap tersebut.

Kata Syed Muhammad Anwar bekas menteri besar Perlis itu tidak hadir di mahkamah pagi ini kerana tidak dimaklumkan mengenai prosiding berkenaan lebih awal.

Malah Syed Muhammad Anwar berkata dia sendiri tidak dimaklumkan terlebih dulu berhubung pendakwaan tersebut.

Shahidan sebelum ini dipanggil memberi keterangan kepada polis di Bukit Aman berhubung laporan yang dibuat ke atasnya oleh seorang gadis.

Beliau berada di ibu pejabat Polis Diraja Malaysia itu selama kira-kira tujuh jam.

Sehari kemudiannya, iaitu pada 31 Oktober Shahidan tampil memberi penjelasan dengan mendakwa kejadian tersebut berpunca daripada “salah faham.”

Katanya dakwaan beliau berdua-duaan dengan pelajar terbabit di dalam kereta adalah tidak benar.

Shahidan menambah pertemuan itu dibuat ekoran keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan beliau keluar dari kenderaan terbabit.

Menurut Syed Muhammad Anwar anak guamnya itu berada di luar kawasan ketika ini.

“Kes berprofil tinggi seperti ini perlulah dimaklumkan lebih awal, apatah lagi melibatkan seorang ahli politik.

“Shahidan pula menetap di Perlis, waran tangkap hanya dikeluarkan jika beliau melarikan diri,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.