AMARAN TERAKHIR BUAT WAN SAIFUL, PH

 

Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) bersama 400 mahasiswa pelbagai kampus pada 24 November lalu telah berarak daripada Masjid Jamek hingga Menara PTPTN sebagai amaran kepada Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk membatalkan polisi pembayaran hutang PTPTN yang menzalimi anak muda Malaysia.

Perjuangan kami bukan sekadar menuntut kerajaan PH tunaikan janji, bahkan juga keperluan mendesak buat semua anak muda graduan IPT untuk menangguhkan pembayaran hutang PTPTN sehingga ekonomi mereka stabil seperti yang dijelaskan Bank Negara Malaysia (BNM).

BNM telah merekodkan di dalam Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2017 bahawa seorang dewasa bujang perlu memperoleh RM2,700.00 sebulan sebagai gaji minima untuk menyewa bilik, makan di luar, memasak sekali sekala dan menggunakan pengangkutan awam.

Menurut data kajian yang dilakukan oleh KPT (Kajian Pengesanan mahasiswa 2016), sebanyak 89.1% daripada mahasiswa graduan diploma yang bekerja mempunyai pendapatan sebanyak RM2,000.00 dan ke bawah sebulan dan sebanyak 48% mahasiswa graduan ijazah sarjana muda mempunyai pendapatan RM2,000.00 dan ke bawah.

Ini adalah fakta jelas yang perlu difahami oleh Wan Saiful bahawa kebanyakan graduan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) berpendapatan di bawah paras gaji minima ditetapkan BNM.

Sekiranya polisi mekanisme pembayaran hutang PTPTN PH diteruskan, maka ia akan menzalimi hidup anak muda Malaysia.

KECEWA SIKAP MALAS FIKIR PENGERUSI PTPTN

Kami mahasiswa kecewa dengan sikap Pengerusi PTPTN yang kini menikmati gaji besar namun malas berfikir untuk mencari jalan keluar daripada polisi yang menekan anak muda, khususnya graduan IPTA dan IPTS di seluruh negara.

Wan Saiful terlalu banyak memberikan alasan, sibuk mencari salah orang lain dan tidak nampak usaha yang dilakukan untuk meminda polisi yang menekan anak muda.

Kami juga kecewa dengan kenaifan beliau dalam hal ehwal konsep hutang yang telah digariskan oleh Islam melalui dalil al-Quran yang sahih dan sarih (jelas).

Allah SWT berfirman:

Maksudnya: “Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).” (Surah al-Baqarah: 280)

Rasulullah SAW juga telah bersabda:

“Barangsiapa memberi tempoh waktu bagi orang yang berada dalam kesulitan untuk melunaskan hutang atau membebaskan hutangnya, maka dia akan mendapat naungan Allah.” (Riwayat Muslim)

Allah SWT secara jelas telah memerintahkan kepada orang yang memberi hutang untuk memberikan ruang masa kepada orang yang berhutang sehingga mereka mampu untuk keluar daripada kesempitan hidup mereka.

Ini adalah tanggungjawab utama bagi pihak kerajaan dan PTPTN, bukan memaksa dan memeras ugut anak muda Malaysia.

GAMIS SEDIA AJAR WAN SAIFUL

GAMIS juga kecewa dengan sikap malas Wan Saiful untuk mengadakan sidang meja bulat bersama pemegang taruh di seluruh Malaysia.

Malah apa yang beliau sibuk lakukan selepas menikmati gaji besar ialah menjaja di merata tempat bahawa mekanisme penangguhan pembayaran hutang PTPTN adalah mustahil.

Himpunan 24 November yang lalu hanyalah amaran awal buat Wan Saiful dan kerajaan PH.

Sekiranya kerajaan masih angkuh melaksanakan polisi zalim tersebut dan hanyut dengan kemewahan gaji besar, GAMIS tidak akan teragak-agak untuk mengadakan himpunan yang lebih besar selepas ini.

Kami daripada GAMIS bersedia untuk mengajar Wan Saiful bagaimana untuk mengurus PTPTN dan membantu ekonomi anak muda Malaysia sekiranya beliau masih terbuka hati untuk menunaikan janji.

Oleh Muhammad Faizzuddin bin Mohd Zai. Penulis ialah Presiden, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.