RUSUHAN KUIL: MENTERI PATUT SELESAI MASALAH BUKAN MENGHASUT

 

Menteri Pakatan Harapan (PH) tidak sepatutnya salahkan pihak polis. Sepatutnya beliau bekerjasama dengan pihak polis untuk mencari dalang sebenar insiden kekecohan di Kuil Maha Mariamman di USJ, Subang Jaya tersebut untuk dibawa ke muka pengadilan dan menyelesaikan pertelingkahan secara aman.

Apabila ada sesuatu krisis, Kerajaan sepatutnya mengecilkan masalah dan bukannya menerukkannya lagi. Menteri ini mewakili Kerajaan Persekutuan Pakatan, dan pihak berkuasa negeri dan persekutuan, termasuklah pihak polis juga adalah di bawah kuasa kerajaan PH.

Dan hal ehwal tanah yang berkaitan dengan pemindahan hak milik kuil ini kepada pemaju juga adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan PH Selangor. Menteri PH dan Kerajaan PH menyelesaikan perkara ini sesama mereka dan bukannya menuduh sesama sendiri dalam kerajaan dan menghasut rakyat ke jalanan pula yang boleh mencetuskan rusuhan kaum.

Isu pemindahan kuil Sri Maha Mariamman ini adalah isu yang telah bertahun-tahun lamanya. Semasa Kerajaan BN memerintah Selangor dahulu, tidak ada rusuhan seperti ini di kuil tersebut dan Kerajaan BN pada ketika itu telah memberikan komitmen untuk mengekalkan tapak kuil tersebut di sana.

Apabila kerajaan PH mengambilalih negeri Selangor pada tahun 2008, keadaan ini telah bertukar. Hak milik tanah kuil tersebut telah diserahkan kepada pemaju dengan persetujuan kerajaan negeri PH dan ahli-ahli politik mereka.

Saya tidak bersetuju dengan hal ini sebab saya tahu hal hak milik tanah dan pemindahan kuil Sri Maha Mariamman ini adalah satu perkara yang tidak “straight forward” dan mempunyai pelbagai pencanggahan pendapat, maklumat dan tuntutan, walaupun ianya telah dibawa ke mahkamah dan mahkamah telah membuat keputusan.

Mahkamah membuat keputusan berdasarkan maklumat yang dibentangkan kepada mereka pada ketika itu. Namun selepas keputusan dibuat, masih terdapat percanggahan pendapat, maklumat dan tuntutan terhadap isu sensitif ini. Sebab itu sebelum ini saya pernah menyarankan bahawa kuil ini akan kekal dan tidak akan diroboh.

Pentadbiran bekas Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali dahulu tidak berani untuk membuat keputusan, lalu beliau tangguhkan pemindahan kuil ini dan serahkan masalah ini kepada orang lain. Ini adalah mungkin satu cara beliau untuk “tendang tin ke hujung jalan” atau “kick the can further down the road”.

Menteri Besar Selangor sekarang pula menyalahkan masalah tatabahasa atau “grammar” ke atas isu ini. Ini adalah isu serius, bukan masalah grammar YAB MB.

Hakikatnya kerajaan negeri PH tidak mahu bertanggungjawab mahupun mengambil risiko. Sebenarnya jika mereka mahu, mereka boleh buat keputusan untuk kekalkan kuil tersebut di situ dan merunding untuk membayar pampasan kepada pemaju.

Mereka ada kuasa ini sebab hal ehwal tanah di bawah bidang kuasa mereka. Jika isu tanah Ijok boleh “diselesaikan” oleh mereka di luar mahkamah dengan cara ini, mengapa isu kuil ini tidak boleh?

Dulu (dan kini) kerajaan negeri Selangor selalu war-warkan yang mereka adalah negeri terkaya di Malaysia dan kerajaan negeri banyak duit lebihan. Jika mereka betul-betul ikhlas kepada masyarakat India di Selangor, maka kekalkanlah tapak kuil tersebut di situ dan runding dan bayarlah pampasan kepada pemaju, kerana hubungan keharmonian kaum adalah lebih penting daripada ‘bisnes’ dan kepentingan pemaju.

Atau adakah mungkin mereka berfikir sebaliknya dan melindungi kepentingan pemaju lebih daripada kepentingan masyarakat India seperti apa yang mereka telah buat untuk pemaju mengatasi dan menekan (atau “at the expense of”) orang-orang Melayu di Ijok.

Saya ulangi saranan saya pada bulan Februari tahun ini dahulu: Jika BN memerintah Selangor, kuil ini tidak akan diroboh. Ini bukannya soal politik, namun ianya adalah soal janji. BN mempunyai “track record” menunaikan janji.

Saya tidak percaya kepada kerajaan PH ini, mereka selalu mungkir janji. Namun sebaliknya jika masyarakat India masih lagi percaya kepada kerajaan PH setelah sekian kali ditipu oleh mereka, maka terpulanglah kepada anda.

 

  • ISHAM JALIL
    Penulis ialah Presiden Pertubuhan Jalinan Sukarelawan Malaysia

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.