KERAJAAN AMBIL BALIK RUANG UDARA JOHOR

Kerajaan akan melaksanakan pengambilan balik ruang udara di selatan Johor secara berperingkat mulai penghujung 2019 dan 2023.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata ruang udara berkenaan diwakilkan kepada Singapura bagi tujuan penyediaan kawalan trafik udara sejak 1974.

Katanya, pelaksanaan itu dibuat menerusi Operational Letter of Agreement Between Kuala Lumpur and Singapore Area Control Centres Concerning Singapore Areivals, Departures And Overflight (LOA 1974).

“Kerajaan sudah memaklumkan rancangan itu kepada Singapura pada 29 November lalu.

“Pengambilan balik akan dibuat secara berperingkat bagi menyelaraskan tatacara perkhidmatan kawalan trafik udara antara pihak penyedia perkhidmatan pengemudian udara di kedua-dua negara.

“Ia demi menjamin pergerakan pesawat yang selamat, cekap dan teratur.

“Kita akan berbincang dengan Singapura secara lebih terperinci berhubung isu ini dan merujuk kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) sekiranya perlu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH PKR-Pasir Gudang) pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, Selasa.

Hassan bertanya mengenai pembangunan di Pasir Gudang yang dijangka tergugat susulan hasrat Singapura merancakkan operasi penerbangan komersial di Lapangan Terbang Seletar yang terletak hanya dua kilometer (km) dari sempadan negara.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.