MAUT GUNA TELEFON BIMBIT SEDANG DICAS

Gara-gara menggunakan telefon pintar ketika sedang dicas, seorang remaja lelaki, berusia 16 tahun maut akibat terkena renjatan elektrik

Kejadian itu berlaku di kediaman remaja berkenaan di Kampung Gais Batu Pedas, Rembau, kelmarin.

Memetik laporan sebuah portal berita dalam talian hari ini, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam, berkata mangsa, Mohd Aidi Azzhar Zahrin ditemui meninggal dunia jam 12.45 tengah hari oleh ibunya yang mendapati dia tidak sedarkan diri.

Menurut Anuar Bakri, ibu mangsa berusia 51 tahun sebelum itu keluar dari kediaman jam 7.45 pagi ke tempat kerja dan mendapati anaknya dalam keadaan tertiarap di lantai yang disangkanya sedang tidur.

“Sewaktu berada di tempat kerja, wanita itu berasa tidak sedap hati lalu pulang ke rumah. Sebaik tiba dia melihat keadaan anaknya dalam posisi yang sama.

“Wanita itu cuba mengejutkan anaknya namun tiada tindak balas malah keadaan badan mangsa begitu sejuk,” katanya ketika dihubungi.

Anuar Bakri berkata, wanita berkenaan menghubungi klinik berdekatan sebelum pegawai perubatan yang tiba membuat pemeriksaan.

“Pemeriksaan pada tubuh mangsa tidak menemui kesan lebam atau luka, sebaliknya pendarahan di sebelah telinga kiri.

“Ketika itu mangsa sedang memakai ‘earphone’ dan telefon bimbit miliknya yang berada bersebelahan sedang dicas. Pemeriksaan lanjut mendapati remaja itu sudah meninggal dunia,” katanya.

Beliau berkata, seorang daripada abang mangsa cuba mematikan suis elektrik sebelum menyedari terdapat kesan renjatan elektrik pada wayar berkenaan.

“Mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar dan hasil bedah siasat mengesahkan remaja itu maut akibat terkena renjatan elektrik,” katanya.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.