NAJIB GEMBIRA ADIB MAKIN PULIH


Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor meluangkan masa menziarahi anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang cedera parah dalam insiden rusuhan kuil di Subang Jaya baru-baru ini.

Najib ketika ditemui media memberi tahu situasi Muhammad Adib semakin positif.

Beliau menzahirkan kesyukuran serta gembira kerana anggota bomba berusia 24 tahun itu semakin pulih.

Sementara itu Institut Jantung Negara (IJN) dalam satu kenyataan memaklumkan Muhammad Adib memberi reaksi positif selepas menukar sistem sokongan kepada mesin Extracorporeal Membrane Oxygenation (ECMO) yang membantu fungsi paru-paru, pada Ahad lalu.

Jabatan Komunikasi Korporat IJN, dalam satu kenyataan hari ini, menyebut jantung Muhammad Adib berfungsi dengan baik tanpa sokongan mesin.

“Paru-paru kiri mangsa menunjukkan tanda pemulihan awal. Dia tidak memerlukan begitu banyak bantuan oksigen dan alat ventilator sejak malam tadi,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Muhammad Adib masih perlu menjalani rawatan dialisis di bahagian buah pinggang walaupun organ itu sudah bertambah baik.

“Muhammad Adib kini sedang menjalani rehabilitasi paru-paru. Dia juga didedahkan dengan senaman anggota badan bersama pegawai fisioterapi IJN,” kata kenyataan itu lagi.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.