ARUL KANDA HADIR KE SPRM PUTRAJAYA

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Arul Kanda Kandasamy hadir di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pagi Selasa dipercayai bagi membantu siasatan dakwaan pindaan laporan akhir audit 1MDB.

Beliau tiba di SPRM kira-kira 9.30 pagi.

Terdahulu, bekas ketua setiausaha negara (KSN) Dr Ali Hamsa turut kelihatan berada di ibu pejabat SPRM itu namun media tidak mengetahui tujuan kedatangan beliau.

Pada 25 November lepas, Ketua Audit Negara Dr Madinah Mohamad mendedahkan laporan akhir audit 1MDB diubah dan bekas Perdana Menteri Najib Razak tahu mengenai perkara itu.

Madinah turut mendedahkan dua perkara penting digugurkan dalam laporan itu ialah kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam satu mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB serta status kewangan 1MDB.

Pada hari sama, SPRM dilaporkan berkata pihaknya sudah memulakan siasatan berkaitan dakwaan pindaan laporan itu dan akan memanggil beberapa saksi bagi memberi keterangan dan membantu siasatan.

Semalam, Najib ditahan kira-kira dua jam setengah di SPRM ketika hadir untuk dirakam keterangannya berhubung isu pindaan laporan akhir pengauditan 1MDB itu sebelum dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Pada 6 Disember lalu, Najib hadir kali pertama untuk memberi keterangan yang mengambil masa kira-kira empat jam di SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes sama.

Antara yang telah dipanggil SPRM untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes ini ialah bekas ketua audit negara Ambrin Buang dan bekas ketua pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad.

  • Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.