PANGLIMA PERANG UMNO DIJINAKKAN ‘KUCING TUA’

“Anda tidak keseorangan wahai presiden”

“Jangan jadi pondan, UMNO kena berani mempertahankan kepimpinan dan parti”

Itu antara bait-bait kata yang kita pernah dengar daripada bekas pemimpin UMNO yang kini menyeberang jambatan bersama untuk atok (Tun Dr Mahathir Mohamad).

Kata-kata orang politik ini umpama “munafik” yang berbohong apabila bercakap dan tidak berpegang pada janji yang dilafazkan.

Panglima-panglima perang yang dahulunya lantang bersama kepemimpinan UMNO, kini mula menikus dan berjaya dijinakkan oleh seekor ‘kucing tua’, bukannya harimau.

Dahulu bukan main lagi berapi-api hulu balang ini mempertahankan pemimpin UMNO. Namun kini semua jelas, cakap yang berapi itu hanya terpacul keluar ketika masih ditampuk kuasa.

Tetapi bila sudah tiada kuasa, wala’, kesetiaan sudah tiada makna lagi. Apa yang penting “poket terus kembung” dan dapat makan mewah di hotel-hotel dan projek yang ada tidak tergendala.

Rakyat…”persetankan mereka”, yang penting “kenyang”. Rakyat hanya dipergunakan untuk mengangkat kedudukan bagi bergelar Yang Berhormat.

Mandat rakyat, amanah rakyat sekadar di bibir saja, yang penting kekayaan tidak susut dan hidup dalam senang.

“Perjuangan UMNO” itu mungkin sekadar retorik. “Berjuang kalau tak ada duit nak makan tiada guna bro”.

Jadi untuk menghalalkan keputusan meninggalkan UMNO, maka tujukan serangan kepada kepemimpinan UMNO, jadikan ketiadaan hala tuju sebagai alasan meskipun berbuih mulut pucuk pimpinan menerangkan hala tuju parti pasca 9 Mei.

Itulah realitinya UMNO hari ini, hanya yang kuat dan tabah saja akan bersama bahtera parti itu yang tersadai dibadai ombak PRU14 lalu.

Mereka yang pergi biarkanlah…tapi UMNO perlu membuktikan bahawa mereka masih relevan untuk terus menjuarai aspirasi rakyat.

Bagaimanapun, UMNO tidak boleh memandang enteng lagi ‘Tsunami’ yang melanda parti itu apabila seorang demi seorang wakil rakyatnya mula angkat kaki.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak boleh berdiam diri lagi, “pelan tindakan kecemasan” perlu diaktifkan segera bagi memastikan keadaan terkawal.

Bertindaklah segera Datuk Seri Presiden, pacu bahtera UMNO menuju destinasi jelas, jangan sesekali menyelusuri laluan yang bergelora kerana bimbang dibadai ombak yang menggila.

UMNO besar jasanya pada tanah air tercinta ini. UMNO adalah wadah orang Melayu yang diyakini sejak zaman berzaman.

UMNO adalah suara rakyat yang haarus dipertahankan.

APA KATA WATAN : UMNO tidak ketandusan pemimpin. Patah tumbuh hilang akan berganti. Inilah masanya untuk meremajakan UMNO agar terus segar dan bertenaga. Hidup UMNO

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.