ORANG DALAM CUBA RUNTUHKAN UMNO – ZAHID

Masalah dalam UMNO membabitkan penghijraan beramai-ramai wakil rakyat parti itu disebabkan oleh permainan ‘orang dalam’ yang bekerjasama dan memberi maklumat kepada pihak musuh.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata oleh sebab itu ahli UMNO kini lebih gemar melayani masalah dalaman berbanding menggunakan kekuatan untuk menyerang musuh dari luar.

Beliau berkata, UMNO perlu mengambil iktibar daripada sejarah Belanda menyerang Melaka apabila orang dalam memberi maklumat kepada musuh.

“Bila Portugis serang Melaka, dalang dari dalam yang beri maklumat dan jual kedudukan. Bila British masuk, perjanjian Pangkor, kita tahu siapakah yang bekerjasama dengan British, ada orang dari dalam Istana. Bila Jepun masuk, kita lihat orang dalam juga yang menjual maklumat. Bila Komunis memerintah, orang dalam juga yang (jual) maklumat.

“Ertinya, permasalahan dalaman ini menunjukkan Umno ini dinamik dan kita lebih melayani masalah dalaman kita daripada bersama-sama untuk berkubu dan menggunakan peluru yang ada menyerang musuh daripada luar,” katanya seperti dilapor Umno-Online.

Zahid berkata demikian ketika berucap dalam program retreat UMNO bahagaian Temerloh.

Menurutnya, anggota parti itu perlu belajar untuk reda menerima kekalahannya dan bukan memikirkan cara menyelamatkan diri sendiri apabila tewas.

“Dalam keadaan sekarang kita harus reda. Allah nak ajar kita tapi kita tidak pernah belajar. Dalam keadaan kalah dalam keadaan kecundang, masih ada yang berfikir yang penting bukan parti kita tapi macam mana aku nak menyelamatkan diri aku, nak elakkan diri aku daripada disiasat. Macam mana aku nak pastikan diri aku tidak dituduh.

“Ertinya kita tidak ada istiqomah sebab kita merasakan diri kita dulu perlu diselamatkan bukan soal parti,” katanya.

Sementara kata Ahmad Zahid berkata, kekalahan UMNO pada PRU14 lalu merupakan suatu musibah, namun ada pengajaran di sebaliknya.

“Saya melihat, apa yang berlaku pada PRU-14, Allah menurunkan musibah kepada kita, Allah berikan suatu hidayah atau panduan kepada kita tapi untuk apa? Ini kifarah, apa makna kifarah? ‘What you give, this is what you get…’

“Saya bertanya kepada ulama termasuk di luar negara, takkan dari ramai-ramai yang saya mohon agar mereka doakan untuk kemenangan Umno dalam PRU-14 tidak dimakbulkan Allah.

“Mereka kata kepada saya ‘Tuan ini adalah satu proses pembersihan’,” kata beliau lagi.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.