“KALAU NAK KELUAR, KELUARLAH… ” – SHAHRIR

Wakil rakyat UMNO yang bertindak keluar parti tidak perlu menyalahkan dan mengugut kepemimpinan parti bagi ‘menghalalkan’ matlamatnya.

Sebaliknya mereka hanya perlu berterus terang bahawa “tidak mahu” menjadi wakil rakyat pembangkang.

Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad berkata, ahli UMNO seharusnya berpegang kepada prinsip dan tidak sesekali menyalahkan pimpinan parti di atas keputusan yang dibuat mereka sendiri.

Ia merujuk kepada tindakan beberapa Ahli Parlimen dan ADUN UMNO yang meninggalkan parti berkenaan dengan alasan tidak berpuas hati dengan keputusan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Sekarang ini adalah Ahli Parlimen yang mahu mengugut parti dengan mendakwa kalau tak letak jawatan (Ahmad Zahid), ramai lagi akan keluar sedangkan beliau sendiri dipilih oleh parti.

“Seharusnya mereka ini yang mewakili parti daripada meninggalkannya dah terbalik. Pada kami yang tidak patuh pada pandangan parti ialah mereka yang melompat, bukan mereka yang tinggal. Tidak munasabah permintaan mereka.

“Kalau nak keluar, keluar lah, ini yang menderhaka, boleh menuntut pula, jangan alih perhatian dan menuduh orang lain untuk menutup kesilapan kita,” katanya pada sidang media di Bangunan Umno Johor Bahru, pada Ahad.

Shahrir yang juga Ketua Bahagian UMNO Johor Bahru turut memaklumkan, pada permulaan pentadbiran Ahmad Zahid di dalam parti, pemimpin itu sendiri sudah mengemukakan cadangan untuk melaksanakan amalgamasi sebagai hala tuju baharu di masa hadapan.

“Ketika Ahmad Zahid sebagai pemangku, beliau memang ada kemukakan cadangan untuk melaksanakan amalgamasi dalam pentadbiran parti.

“Tetapi ditentang selain itu Pemuda UMNO juga saran jangan ada ahli UMNO sertai kerajaan ikut pintu belakang untuk jadi pembangkang yang berwibawa.

“Zahid hormatinya dan setuju, beliau tidak tolak pendirian Umno, yang lompat parti itu lah yang sebenarnya masuk kerajaan ikut pintu belakang,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai pendirian tetap Ahmad Zahid yang mahu kekal sebagai kepala UMNO, beliau menasihati ahli lain terus memberikan sokongan dan bergerak senada untuk mengelakkan perpecahan.

“Kami Bahagian Johor Bahru tidak undi pun Ahmad Zahid, tetapi beliau telah menang undi majoriti dan kami menghormati keputusan itu. Kami bukannya (UMNO) Bahagian Larut yang mengundi Ahmad Zahid lepas itu gunakan sebab (alasan) Ahmad Zahid masih kekal (memimpin parti sebagai alasan) untuk keluar (UMNO),” katanya.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.