DAP MOHON AMPUN KEPADA SULTAN JOHOR

Menyedari tindakan anggotanya yang bersikap kurang sopan terhadap institusi kesultanan, DAP Johor bertindak merafak sembah dan memohon keampunan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

Setiausaha DAP Johor, Tan Hong Pin berkata parti memandang serius kenyataan keterlaluan oleh seorang anggota DAP yang juga Ahli Majlis Daerah Pontian, Mohamad Kamarul Ariffin Harris Fadzillah terhadap institusi Raja Berperlembagaan di laman Facebook sebelum ini.

“Kenyataan yang dimuat naik oleh saudara Mohamad Kamarul Ariffin Harris Fadzillah menerusi akaun peribadi Facebooknya diungkapkan dengan bahasa yang tidak sopan dan tidak menggambarkan sifat seorang rakyat yang menghormati institusi diraja.

“Sebagai ahli parti dan Ahli Majlis, beliau seharusnya mengutamakan budi bahasa dan bersikap sopan santun serta menjaga tata tertib berbahasa,” katanya melalui kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Tan berkata Kamarul serta ahli DAP lain perlu mengikut etika diplomasi yang tinggi dan berintergriti dalam sesebuah kenyataan meskipun menjunjung tinggi kebebasan bersuara.

“Sehubungan dengan itu, DAP Johor merafak sembah dan memohon keampunan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor khususnya dan seluruh rakyat amnya atas sikap tidak bertanggungjawab ahli kami yang berkelakuan tidak sopan terhadap institusi Raja Berperlembagaan,” katanya.

Terdahulu, Mohamad Kamarul Ariffin memuat naik kenyataan memperlekeh Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam Facebook miliknya, Jumaat lepas, sebelum dipadamkan.

Beliau kemudian memohon maaf kepada seluruh kerabat Diraja Johor menerusi laman sama atas kenyataan yang dibuat.

Difahamkan kenyataan dikeluarkan Kamarul berkaitan dengan pertikaian pertukaran status Pulau Kukup kepada status Tanah Kesultanan.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.