KAYVEAS UMUM TANDING DI CAMERON

Tan Sri M Kayveas yang mendakwa dirinya masih lagi presiden MyPPP mengumumkan keputusan untuk bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands.

Beliau berkata keputusan itu dibuat kerana beliau sudah sekian lama membuat kerja di kawasan itu sebelum PRU-14 lalu.

“Ini merupakan situasi yang unik. Ada 222 kerusi parlimen dalam salah satunya, Cameron Highlands mengadakan PRK, ini merupakan kerusi sama yang kami sudah minta dan kerja keras sebelum ini.

“Jadi kami tidak akan lepaskan peluang ini (untuk bertanding),” katanya pada sidang media di luar pejabat MyPPP di Kuala Lumpur hari ini.

Pengumuman itu dibuat selepas MyPPP mengadakan mesyuarat majlis tertinggi petang tadi, dengan Kayveas dikatakan mendapat sokongan penuh.

Kayveas sebelum ini melobi untuk bertanding di kerusi berkenaan pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 namun BN meletakkan calon MIC, Datuk C Sivarraajh, yang seterusnya memenangi kerusi berkenaan.

Bagaimanapun, Mahkamah Pilihan Raya mengarahkan kerusi berkenaan dikosongkan selepas mendapati berlaku pembelian undi yang membawa kepada kemenangan Sivarraajh pada PRU14 lalu.

Dalam pada itu, Kayveas mengakui dirinya bukan calon pilihan yang akan memenangi PRK itu, namun beliau percaya mempunyai peluang untuk membuat kejutan.

Beliau menambah bahawa antara isu yang akan dibawa dalam kempennya termasuklah isu pekerja, alam sekitar, perumahan, Orang Asli dan tanah.

Kayveas juga berkata MyPPP tidak mempunyai banyak dana untuk berkempen dan beranggapan bahawa bergantung kepada dana dalam pilihan raya bukan langkah bijak memandangkan PRK berkenaan diadakan susulan berlaku pembelian undi.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.