SEWA KUARTERS : KHALID ‘U-TURN’

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil keputusan untuk tidak menaikkan kadar sewa kuarters bagi penjawat awam Putrajaya susulan teguran Presiden Sukarelawan Malaysia, Dr. Isham Jalil mengenai risiko bebanan kewangan yang bakal dihadapi penghuni kuarters.

Isham berkata Menteri Wilayah dan Persekutuan, Khalid Samad telah mengambil maklum mengenai permasalahan tersebut dan mengadakan perbincangan dengan Perbadanan Putrajaya untuk membatalkan kenaikan kadar sewaan kuarters.

“Alhamdulillah, pagi ini Perbadanan Putrajaya telah mengeluarkan kenyataan untuk membatalkan kenaikan sewa kuarters Perbadanan Putrajaya.

“Hampir semua kuarters Perbadanan Putrajaya yang tertakluk kepada kenaikan kadar sewa tersebut adalah disewa oleh penjawat awam atau pekerja kerajaan Perbadanan Putrajaya, iaitu satu majlis perbandaran seperti juga DBKL, MBSA dan sebagainya.

“Mereka-mereka yang bekerja dengan majlis bandaran yang tinggal di kuarters ini adalah pekerja kerajaan atau penjawat awam walaupun bukan kakitangan persekutuan,” katanya melalui kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Isham berkata teguran yang dibuat bukan sahaja demi mengelakkan berlakunya kemelut dalam kalangan penyewa kuarters, tetapi juga bagi mengelakkan kenaikan kadar sewaan bagi semua aset hartanah lain yang dimiliki Perbadanan Putrajaya.

“Jika Menteri yang bertanggungjawab ke atas Perbadanan Putrajaya mengambil keputusan dan berjaya menaikan sewa kuarters Perbadanan Putrajaya, besar kemungkinan kelak sewa kuarters bagi aset-aset kepunyaan perbadanan di bawah seliaan Bahagian Pengurusan Harta JPM pun akan dinaikkan juga.

“Sebab itu saya membuat kenyataan berkenaan kenaikan sewa kuarters Perbadanan Putrajaya supaya Kerajaan dan Menteri PH ini tidak senyap-senyap terus menaikkan sewa kuarters kerajaan sama ada di majlis bandaran mahupun persekutuan,” katanya selain berharap semua hasrat kenaikan sewa kuarters termasuk BPH akan turut dibatalkan.                                                                                                           

                                                                                                                                           Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.