TAJUDDIN SAHKAN WUJUD GERAKAN SINGKIR ZAHID

Usaha untuk menyingkirkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi oleh individu tertentu dalam parti itu tidak mendapat sambutan.

Perkara itu disahkan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Beliau bagaimanapun berkata, majoriti kepemimpinan UMNO memilih untuk memulihkan parti dan bukannya berpolitik sesama sendiri.

“Ada segelintir saja (mahu menyingkirkan Ahmad Zahid), namun tidak mendapat sambutan. Mereka ada agenda tersendiri bukannya untuk parti.

“Keadaan sudah elok dan tenang, sepatutnya lebihkan kerja untuk memantapkan parti dan persiapan pilihan raya umum,” katanya ketika dihubungi Watan- Online.

Tajuddin berkata, tindakan sebegitu tidak sepatutnya berlaku kerana Ahmad Zahid sudah memberikan mandatnya kepada Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan untuk menjalankan tugas.

Katanya, sekarang bukanlah masa untuk berpolitik sesama sendiri sebaliknya ia adalah masa untuk memperkukuhkan parti.

Ahmad Zahid pada 18 Dis lalu mengalah dengan desakan yang mahukan beliau “berehat” apabila mengumumkan keputusan menyerahkan tugas presiden kepada timbalanya berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan itu diambil bagi menyelamatkan UMNO daripada masalah pemimpin dan wakil rakyatnya yang keluar parti.

“Jika benar saya menjadi punca utama (kepada lompat parti), maka keputusan yang saya lakukan adalah kaedah sebaik-baiknya untuk saya berikan kepercayaan kepada Mohamad untuk menjalankan tugas-tugas presiden,” kata Ahmad Zahid.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.