PRK CAMERON HIGHLANDS: ANAK PENGASAS SENOI PRAK CALON BN

Barisan Nasional (BN) mengetengahkan ACP (Bersara) Ramli Mohd Nor calon orang asal untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands 26 Januari ini.

Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan yang menjalankan tugas-tugas presiden berkata Ramli Mohd Nor yang juga merupakan anak kepada pengasas Senoi Prak, Datuk Mohd Nor Abdullah merupakan calon langsung yang tidak mewakili mana-mana parti komponen BN.

Ramli merupakan calon tempatan dari suku Semai yang mewakili pengundi orang asal di Cameron Highlands.

“Beliau (Ramli) adalah anak tempatan yang mewakili 22 peratus pengundi di sana (Orang Asli).

“Ramli adalah bekas penjawat awam yang mempunyai rekod yang baik sebagai bekas penolong pesuruhjaya polis yang baru sahaja bersara dan mempunyai kelayakan Ijazah Sarjana,” katanya lapor media pada sidang media pengumuman calon BN di Kuala Lumpur pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mohamad yakin dengan kemenangan BN pada PRK kali ini selepas tewas empat pilihan raya kecil sebelum ini.

PRK Cameron Highlands dijangka akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Pakatan Harapan (PH) yang diwakili M. Manoharan, BN yang diwakili Ramli dan M. Kayveas yang mendakwa dirinya sebagai presiden MyPPP.  

Oleh Syakirin Daud   

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.