LANTIK YDP AGONG : MAHATHIR JANGAN CAMPURTANGAN

Wakil Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu Malaysia hari ini menyerahkan memorandum bantahan kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya.

Pengerusi Eratkan Perhubungan Antara Negeri Cetuskan Organisasi (EPANCO) Malaysia, Ariffin Abu Bakar berkata memorandum tersebut bertujuan untuk memohon Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad untuk tidak mendengar hasutan ‘tangan ghaib’ dalam urusan pemilihan Yang di Pertuan Agong yang baharu.

“Di sini kami memohon supaya Tun Mahathir bertegas, jangan mendengar kata-kata di belakang iaitu DAP.

“Kami mohon supaya ambil tindakan sekiranya mana-mana parti politik yang berlebihan daripada sepatutnya,” katanya setelah menghantar memorandum di hadapan pintu pelawat Pejabat Perdana Menteri (PMO) di Putrajaya pada Jumaat.

Kira-kira 30 orang wakil ahli NGO turut hadir mengiringi Ariffin menyerahkan memorandum tersebut.

Mengulas lanjut, Ariffin turut menggesa pihak polis diberi kebebasan yang selayaknya bagi mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menghina Raja-raja Melayu.

Katanya semua pihak perlu menghormati kepelbagaian kaum dan agama di negara ini supaya tragedi seperti kes kematian Allahyarham Muhammad Adib akibat dipukul perusuh tidak berulang.

“Dalam kes Allahyarham (Muhammad) Adib tidak mendapat keadilan yang sepatutnya, apabila NGO menyuarakan hak yang sebenar, kami dituduh rasis.

Tetapi tiada tindakan apabila Red Bean Army (RBO) menyerang duli yang maha mulia, menghina Raja-raja Melayu.

Jadi kami mengharapkan diberi kebebasan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan setegas- tegasnya kerana kita tidak mahu berlaku huru-hara di negara ini,” katanya.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.