PEMUDA UMNO LAPOR POLIS UGUTAN BOB MANOLAN

Satu laporan polis telah dibuat oleh Pemuda UMNO Pahang susulan ugutan Ahli Dewan Negara (PKR), Senator Bob Manolan terhadap pimpinan masyarakat Orang Asli atau Tok Batin di Cameron Highlands.

Ketuanya, Mohd. Farid Mohd. Nor berkata kenyataan Bob Manolan untuk melucutkan jawatan dan menghentikan gaji Tok Batin yang tidak mengundi calon Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands akan datang merupakan sesuatu yang serius.

Beliau turut menyifatkan tindakan tersebut sebagai usaha terdesak PH untuk memenangi PRK Cameron Highlands dengan cara kotor.

“Pihak kami dimaklumkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuka kertas siasatan berdasarkan kesalahan di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan kerana mengancam dan menjejaskan pelaksanaan sistem demokrasi berparlimen.

“Pemuda UMNO Pahang nyata kecewa dengan tindakan terdesak ahli Parlimen daripada parti pemerintah yang tergamak melakukan ugutan kepada pemimpin masyarakat setempat.

“Sekiranya perkara ini tidak dibendung, ianya akan menjadi gejala penyalahgunaan kuasa yang ketara,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Bob Manolan dikritik oleh pihak lawan mahupun kawan berikutan kenyataannya yang berbaur ugutan tersebut.

“(Tok) Batin ini memang dibayar kerajaan pusat, maka itu batin kena sokong Pakatan Harapan. Tak sokong kita buang,” katanya dipetik.

Dalam isu yang sama, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menggesa Bob Manolan menjelaskan kenyataan beliau.

“Tiada paksaan dalam demokrasi. Bob perlu menjelaskan kenyataannya segera,” ujar Anwar melalui ciapan di Twitter.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.