HISHAMMUDDIN KEKAL BERSAMA UMNO – NAJIB

Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan bahawa sepupunya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien akan kekal setia bersama UMNO.

Menurutnya, beliau telah bertemu dengan Hishammuddin beberapa hari lalu dan sepupunya tersebut memberi jaminan sedemikian.

“Saya beberapa hari lalu ada bertemu dan bercakap sendiri dengannya dan beliau memberi jaminan akan tetap kekal dengan UMNO.

“Soal gambar bercuti dengan Azmin (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) itu memberikan pelbagai tafsiran dan saya bertanyakan secara berterus terang.

“Saya juga menyebutkan, janganlah (berpaling), sayang dan kasihlah pada UMNO kerana ini darah daging kita dan alhamdulillah dia beri pendirian itu kepada saya,” katanya dalam sesi santai bersama ahli UMNO, di UMNO Bahagian Shah Alam pada Isnin.

Terdahulu, Najib diajukan persoalan mengenai kedudukan sebenar Hishammuddin selepas tindak tanduk bekas Naib Presiden UMNO itu mencetuskan pelbagai khabar angin yang tidak menyenangkan parti.

Sebelum ini gambar percutiannya dengan Mohamed Azmin tersebar, Hishammuddin juga dikaitkan dalam isu wakil rakyat UMNO yang lompat parti tetapi dakwaan itu dinafikan beliau.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.