SPR PERLU ADIL, JANGAN SEKAT KEMUDAHAN ORANG ASLI MENGUNDI

Perjalanan saya ke dua daerah peti undi terbesar Orang Asli semalam adalah agak mencabar dan memakan masa oleh kerana jalan yang sopak dan berliku ke kawasan pendalaman.

Terdapat lebih 1,000 pengundi Orang Asli di Pos Senderit dan lebih 1,200 di Pos Betau.

Kedua-dua peti undi ini merangkumi lebih 30% daripada 6,964 pengundi Orang Asli di keseluruhan 13 peti undi di 13 daerah perkampungan Orang Asli.

Lokasi peti undi Pos Senderit adalah 38km ke pendalaman melalui jalan kampung daripada simpang jalan besar Raub-Kuala Lipis ke hutan belantara.

Terdapat 21 kampung penempatan Orang Asli yang mengundi di peti undi Pos Senderit. 12 daripadanya adalah di sepanjang 38km jalan masuk ini menuju ke Pos Senderit.

Perkampungan pertama terletak betul-betul di simpang masuk jalan ini iaitu 38km atau satu jam setengah berkereta daripada lokasi peti undi.

Selepas itu terdapat sebelas lagi perkampungan sehingga ke penghujung jalan kampung di Pos Senderit.

Sembilan lagi perkampungan terletak di dalam hutan tanpa jalan batu sejauh beberapa kilometer.

Walaupun terdapat lebih seribu pengundi Orang Asli di sini yang perlu membuang undi di peti undi yang terletak dalam linkungan sejauh 40km, masa mengundi hanya dihadkan sehingga pukul 2:00PM berbanding kebiasaan di peti-peti undi lain iaitu pukul 5:00PM.

Ini menyukarkan pengundi Orang Asli di sini untuk membuang undi dalam masa yang ditetapkan.

Menerukkan lagi keadaan ini, jumlah saluran yang disediakan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) di sini hanyalah dua saluran.

Ini memanjangkan barisan untuk pengundi membuang undi dan meningkatkan masa menunggu untuk membuang undi.

Saya telah dimaklumkan oleh pemimpin Orang Asli di sini bahawa akibat daripada masalah di atas, ramai Orang Asli yang tidak sempat mengundi atau tidak keluar mengundi pada pilihanraya-pilihanraya yang lalu di sini.

Ini terutamanya kepada pengundi-pengundi Orang Asli yang sudah berumur.

Di kawasan-kawasan peti undi Orang Asli pedalaman yang mempunyai sebilangan kecil jumlah pengundi, memang adalah memadai jika masa mengundi dihadkan kepada pukul 2:00PM sahaja dan saluran mengundi kepada dua saluran.

Namun apabila jumlah pengundi adalah seramai seribu orang yang datang daripada kawasan pedalaman sejauh 40km melalui jalan sukar seperti di Pos Senderit, adalah tidak munasabah jika masa mengundi ditamatkan seawal pukul 2:00PM dengan hanya 2 saluran mengundi dibuka.

Saya sarankan supaya SPR memanjangkan masa mengundi di peti-peti undi mencabar seperti di atas di Pos Sendirit dan Pos Betau kepada sekurang-kurangnya sehingga pukul 4:00PM.

Dan saluran mengundi di peti-peti undi ini ditambah kepada 3 atau 4 saluran untuk mempercepatkan proses membuang undi.

Dan juga, mungkin pada masa akan datang jumlah peti undi di sini boleh ditambah dan dipecahkan ke beberapa kawasan untuk menyingkatkan jarak pengundi dari peti undi.

Jika perkara-perkara di atas boleh dilakukan di Sabah dan Sarawak untuk pengundi pedalaman di sana, ia seharusnya juga boleh dibuat di Semenanjung Malaysia ini.

Cadangan di atas adalah untuk memudahkan pengundi-pengundi Orang Asli untuk keluar dan membuang undi dan supaya proses demokrasi yang adil dapat ditegakkan bukan sahaja kepada pengundi lain amnya tetapi juga kepada pengundi-pengundi Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman.

Sebagai rakyat Malaysia, mereka juga berhak mengundi dengan lancar dan tanpa sekatan.

Saya harap SPR dapat mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas hal ini.

ISHAM JALIL
Presiden Sukarelawan Malaysia
Di Cameron Highlands
18 Januari 2019

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.