MUSTAHIL KELUAR UMNO -NOH OMAR

Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar menafikan sekeras-kerasnya khabar angin mengatakan beliau akan meninggalkan parti UMNO.

Katanya beliau tidak akan mengikuti jejak langkah bekas ahli Parlimen UMNO yang bertindak keluar parti sebelum ini.

Malah Noh Omar menegaskan beliau akan setia berjuang dalam wadah UMNO meskipun parti itu bukan lagi mentadbir negara.

“Adalah mustahil untuk saya tinggalkan UMNO, apatah lagi mengkhianati pengundi yang memberi kepercayaan kepada saya menjadi wakil rakyat selama enam penggal berturut-turut.

“Saya menang bukan kerana nama Noh Omar. Kalau kerana nama Noh Omar, saya fikir saya tak boleh menang. Saya menang kerana mewakili tiket BN serta memiliki jentera yang sanggup bekerja siang malam.

“Saya boleh menilai betapa sukarnya mereka berkorban untuk beri kemenangan kepada saya, UMNO dan BN. Jadi, adalah tidak wajar untuk saya tinggalkan UMNO,” katanya pada sidang media di Kuala Selangor pada Sabtu.

Dakwaan mengatakan Noh akan meninggalkan UMNO berikutan tersebar foto beliau bersama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan, serta empat lagi pemimpin parti itu bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Walaubagaimanapun Noh menjelaskan pertemuan mereka dengan Dr. Mahathir bukan untuk melompat parti, tetapi untuk berbincang berikutan dakwaan paeti tertua kaum Melayu itu akan diharamkan.

“Saya sedang mengerjakan umrah dan terkejut apabila gambar ini keluar di media sosial, tetapi saya tidak boleh buat kenyataan sebab yang bersama masa itu, Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan), selaku Timbalan Presiden UMNO, beliau lebih layak bagi kenyataan.

“Kenyataan yang beliau keluarkan betul, kita pergi bukan hendak lompat, kita pergi sebab ada ura-ura UMNO hendak diharamkan, tetapi kita merayu jangan UMNO diharamkan.

“Tun (Dr Mahathir) bagi tahu kita, tidak akan haramkan UMNO, itu saja, tidak timbul isu lompat parti,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.