TOLAK BUDAYA SYAK WASANGKA-TOK MAD

Sikap syak wasangka antara kaum boleh diselesaikan sekiranya masyarakat lebih saling memahami kepelbagaian budaya kaum dan agama di negara ini.

Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata perasaan negatif yang timbul sejak kebelakangan ini berlaku berikutan tidak memahami kepelbagaian budaya dalam kalangan kaum dan agama yang sudah sekian lama wujud di negara ini.

“Rakyat mesti sedar kita sudah lama hidup bersama. Kita perlu pupuk semangat perpaduan (terutama) di kalangan anak-anak kita, dedahkan dengan budaya rakan masing-masing.

“Apabila kita faham (budaya) lain, tak akan ada syak wasangka. Kadang-kadang kita ada perasaan itu kerana kita tidak faham,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Tahun Baru Cina anjuran MCA di ibu pejabat parti itu, di Kuala Lumpur pada Selasa.

Katanya, perubahan sistem yang berlaku pada ketika ini turut menyumbang kepada polemik antara kaum.

Tambah beliau, kepelbagaian budaya dan agama di negara ini perlu menjadi asas kekuatan untuk masyarakat lebih bersatu padu demi mengekalkan keharmonian.

“Saya faham (budaya mereka), tak kekok pun. Tetapi kebelakangan ini sistem kita terlampau berpuak-puak, sekolah pun tak nak campur (antara kaum), perasaan syak wasangka itu amat tinggi.

“Perbezaan (dan kepelbagaian kaum) satu kekuatan, jangan jadikannya kelemahan.

“Hari ini saya nasihatkan kepada kaum Melayu, India dan lain-lain, mari kita sama-sama raikan sahabat Tiong Hua yang menyambut Tahun Baru Cina,” katanya.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.