DAKWAAN UBAH SUBJEK SEJARAH TIDAK BENAR-KPM

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memandang serius dakwaan mengatakan wujud ‘pasukan de facto DAP’ dalam kementerian itu yang berniat mengubah subjek Sejarah sekolah rendah dan menengah.

Kementerian menyifatkan tuduhan tersebut merupakan sesuatu yang sangat berat dan berunsur fitnah.

“Kurikulum kebangsaan termasuk subjek Sejarah akan terus kekal melainkan jika ada cadangan atau saranan baharu daripada Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) dan Jawatankuasa Kajian Semula Dasar Pendidikan Negara (JKD).

“…Tulisan yang sedang tular di media sosial merupakan satu tuduhan tidak berasas bertujuan memburukkan imej KPM,” katanya melalui kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, kementerian menjelaskan bahawa semakan semula bagi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) bermula pada 2017, yang mana kementerian mengambil usaha berterusan menambah baik kurikulum sedia ada untuk semua mata pelajaran.

“KPM yakin dan percaya dengan kebijaksanaan dan kewibawaan Panel Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah dan Buku Teks serta anggota panelnya yang profesional dalam membuat keputusan sewajarnya berhubung penggubalan dan penambahbaikan kurikulum Sejarah tanpa pengaruh mana-mana pihak.

“Kurikulum dan buku teks termasuk Sejarah akan diteliti semula berdasarkan pandangan dan laporan akhir daripada MPPK dan JKD,” katanya.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.