MAHATHIR JELAS GAGAL – KHALED

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menunjukkan kegagalan yang nyata dalam ‘menyelamatkan Malaysia’ selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) lalu, ujar Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin.

Beliau berkata kerajaan PH pimpinan Mahathir ternyata tidak mempunyai sebarang ‘formula magik’ untuk memajukan negara.

Malah katanya PH sendiri telah membawa sebegitu banyak masalah meruncing kepada negara akibat kegagalan pentadbiran pimpinan PH yang dilihat tidak tahu bertindak sebagai menteri dan pemimpin.

“Malangnya, setelah 9 bulan, ternyata harapan hanya tinggal harapan. Rakyat Malaysia tidak merasai perubahan yang dijanjikan. Harga barang tidak turun. Saraan hidup semakin membebankan.

“Ekonomi tidak bertumbuh dengan baik. Ringgit tidak semakin kukuh, malah jatuh. Kualiti hidup rakyat tidak lebih sejahtera. Malah, ‘the rule of laws’ yang dicanang-canangkan pun tidak kelihatan terserlah. Sebaliknya integriti badan berkaitan semakin dikecam dan dipersoal.

“Apabila Manifesto PH tidak ditunaikan, pelbagai alasan diberikan. Yang paling kerap dikitar semula adalah hutang negara begitu banyak sehingga tidak memungkinkan Kerajaan melaksanakan janjinya. Tiada naratif lain, hanya hutang.
Yang peliknya, pada masa yang sama, mereka tambah lagi hutang negara,” katanya melalui kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Khaled Nordin berkata PH dan Mahathir turut gagal dalam usaha menghancurkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) apabila parti tertua kaum Melayu itu mula menyedari kesalahan yang dibuat dan berusaha untuk memperbaikinya.

Katanya pemulihan dalaman UMNO-BN yang ini mula diterima sedikit demi sedikit oleh rakyat telah berhasil menangkis serangan dan fitnah PH selepas PRU-14.

“…Kemudian beliau menggambarkan pula UMNO dan BN telah hancur dan musnah. Tetapi UMNO dan BN terus hidup, sudah boleh menerima kekalahannya dan mula dibangunkan kembali dengan iltizam yang sangat jelas oleh kepimpinan baru. Malah menang pula dalam pilihanraya di Cameron Highlands.

“Susulan kemenangan tersebut, Tun Mahathir menghentam PAS kononnya PAS bekerjasama dengan ‘parti kafir’. Ternyata Tun Mahathir sangat marah kerana di sebalik kehadirannya di Cameron Highlands bersama pemimpin-pemimpin Melayu Pakatan Harapan, orang Melayu dan orang Asli terus berkeras menolak mereka,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, Khaled berkata UMNO perlu terus berubah dan berdaya untuk membela kebajikan rakyat terutamanya hak kaum Melayu yang terhakis dengan teruk pada ketika ini.

“Orang Melayu tidak keterlaluan dalam permintaan mereka…Orang Melayu mahu hak mereka, agama mereka dan bahasa mereka dihormati. Bangsa Melayu, walau moden dan maju bagaimana sekalipun, pasti akan terus berpegang kepada akar identitinya. Tiada kepentingan nasional atau ideologi politik yang dapat mengatasi semua ini.

“Inilah kelebihan terkuat UMNO/BN yang sebenar sebagai sebuah parti. Keseriusan BN membangun peluang ekonomi dan solusi kepada kehidupan masyarakat Malaysia adalah penentu dalam banyak perkara. BN sentiasa memastikan wujud tawaran ekonomi dan dasar pembangunan yang jelas, tersusun dan adil untuk semua. Paling penting, BN tidak mengeksploitasi Islam demi kemenangan.

“Justeru, UMNO mesti tampil mengemukakan dasar alternatif kepada rakyat Malaysia dari semasa ke semasa…Kita tidak akan membiarkan rakyat Malaysia terus terpesona dengan ‘Tun Mahathir dan kenegarawanannya’,” katanya.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.