PROJEK TANAH MENCURIGAKAN DI BANJARAN KLEDANG

Sahabat Alam Malaysia (SAM) mempersoalkan kegiatan kerja-kerja tanah di lereng bukit Banjaran Kledang berhampiran jalanraya Ipoh – Lumut, Ipoh yang mencurigakan.

Pegawai Lapangan SAM, Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata pihaknya menyedari kegiatan kerja-kerja tanah tersebut yang dilakukan sejak lebih dua minggu.

Beliau berkata SAM turut mendapati tiada sebarang papan tanda kelulusan projek atau kelulusan Kebenaran Merancang daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Malah SAM mempersoal, adakah guna-tanah cadangan kawasan yang dilakukan kerja-kerja tanah tersebut selari dengan zon guna-tanah sebagaimana mengikut Rancangan Tempatan Daerah (RTD) yang telah diwartakan.

“Kebimbangan SAM ialah kerana ciri-ciri geofizikal kawasannya ialah berbukit curam, struktur tanah mudah terhakis dan merupakan kawasan sensitif kepada sebarang kegiatan yang melibatkan pengubahan guna-tanah sedia-ada.

“Kegiatan pengubahan guna-tanah yang ketara daripada hutan kepada lain-lain guna-tanah akan menyebabkan permukaan tanah terdedah kepada lebihan air larian permukaan dan hakisan lereng,” katanya melalui kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Meor berkata kesan lain yang dijangka boleh berlaku kepada alam sekeliling daripada kegiatan tersebut ialah hakisan dan pemendapan tanah semasa hujan lebat.

Justeru beliau menggesa pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secepat mungkin dan mengambil tindakan ke atas pihak yang terlibat sekiranya wujud sebarang perlanggaran undang-undang.

“SAM berharap pihak-pihak berkuasa yang berkenaan dapat memberi penjelasan serta mengambil tindakan penguatkuasaan sekiranya kerja-kerja tanah tersebut tidak mematuhi peruntukan undang-undang sedia-ada,” katanya.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.