KES NAJIB RAZAK: PEGUAM NEGARA PUN U-TURN?

Penguguran tiga pertuduhan terbaharu melibatkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak membuktikan wujud konspirasi Pakatan Harapan (PH) untuk menghukum atas kepentingan politik.

Presiden Sukarelawan Malaysia, Dr. Isham Jalil menegaskan tindakan terburu-buru mendakwa Najib atas tiga pertuduhan baharu sejurus Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands baru-baru ini seolah-olah membenarkan pandangan awam bahawa PH ingin membalas dendam atas kekalahan tersebut.

“Pada hari ini, ketiga-tiga pertuduhan baru tersebut tiba-tiba digugurkan oleh Peguam Negara di Mahkamah Tinggi setelah seminggu difailkan.

“Sebaliknya, Peguam Negara telah memohon supaya pertuduhan ini dibawa ke mahkamah lebih rendah atau Mahkamah Sesyen.

“Ini menunjukkan bahawa pihak Peguam Negara sendiri tidak yakin akan pertuduhan-pertuduhan yang dibuat dengan terburu-buru ke atas Dato’ Seri Najib di atas lantas Peguam Negara memohon untuk menggugurkannya di Mahkamah Tinggi,” katanya melalui kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Isham yang juga bekas pegawai khas Najib menegaskan alasan pengguguran pendakwaan oleh Peguam Negara iaitu untuk membantu mahkamah mengelakkan masalah kepada hakim untuk membuat keputusan turut dilihat mencurigakan.

“Saya tidak fikir Peguam Negara ini bodoh atau beliau tidak terfikir perkara di atas sebelum membawa pertuduhan ini minggu lepas.

“Jika beliau tidak bodoh, maka besar kemungkinan beliau sengaja. Ini menguatkan lagi pendapat awam bahawa Kerajaan PH menggunakan Peguam Negara untuk menghukum Dato’ Seri Najib atas kepentingan politik mereka.

“Peguam Negara telah membuang masa (dan kos) mahkamah atau dilihat seolah cuba menggunakan proses mahkamah untuk agenda politik pihak tertentu,” jelas beliau.

Isham berkata penyalahgunaan institusi mahkamah dan sistem undang-undang negara demi kepentingan politik mampu mencemar keadilan negara di samping menghakis keyakinan rakyat terhadap badan perundangan negara ini.

“Jika ia dibiar berterusan, lama kelamaan rakyat tidak akan percaya kepada kesucian sistem perundangan negara dan tidak akan hormat kepada mahkamah dan undang-undang.

“Kepada Peguam Negara, tegakkanlah keadilan walaupun ia bercanggah dengan kehendak pemimpin politik kerajaan atau Perdana Menteri serta agenda politik beliau ataupun kepentingan diri kamu sendiri,” katanya.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.