PENIPUAN PH TERHADAP RAKYAT – ISHAM JALIL

Semenjak berlakunya pertukaran kerajaan pasca Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) yang menyaksikan kekalahan Barisan Nasional (BN) di tangan Pakatan Harapan (PH), rakyat seolah-olah mendapat harapan baharu untuk melihat negara ditadbir dengan lebih baik dan jujur.

Rakyat mendambakan agar sebarang bentuk ketirisan dan kebobrokan yang pernah berlaku dahulu tidak akan berulang dalam pentadbiran baharu yang konon mengatasnamakan perjuangan rakyat.

Walaubagaimanapun keadaan yang diharapkan tidak berlaku malahan pentadbiran kini dilihat lebih buruk dengan berbagai birokrasi dan dasar-dasar yang menindas kehidupan serta ekonomi rakyat.

Masalah seperti peningkatan harga rumah yang melambung, masalah bekalan air, kos sara hidup sertai cukai kerajaan negeri yang dahulunya dideritai oleh masyarakat di Selangor dan Pulau Pinang sebagai contoh masih membelenggu dan tidak menampakkan sebarang tanda-tanda untuk berakhir.

Presiden Sukarelawan Malaysia, Dr. Isham Jalil menjelaskan secara terperinci mengenai situasi dan permasalahan yang dialami dalam kebanyakan negeri-negeri yang diperintah PH terutamanya Selangor dan Pulau Pinang:

KOS SARA HIDUP SELANGOR TINGGI

Ketika memberi hujah menolak pandangan saya, Menteri Besar dan jentera pejabatnya pada ketika itu mendakwa cukai hartanah tidak menyebabkan kenaikan kos sara hidup di negeri itu.

Mereka berkata mereka sudah menggerakkan inisiatif mengurangkan cukai hartanah dengan memberikan pengecualian cukai kepada penduduk kampung dan pemilik rumah kos rendah selain mengenakan bayaran nominal RM1,000 bagi mereka yang tidak mampu membayar cukai taksiran.

Bagaimanapun, inisiatif kerajaan Selangor pada 2016 tersebut hanya tertumpu kepada penduduk luar bandar seperti yang dinyatakan oleh Pejabat MB yang mana beberapa ratus ribu penduduk kampung diberi pengecualian cukai taksiran.

Namun demikian, bagaimana pula dengan penghuni di bandar dan pekan yang meliputi lebih 80 peratus penduduk Selangor?

Penghuni pangsapuri dan kediaman bandar yang terpaksa membayar cukai pintu dan cukai taksiran yang lebih tinggi sejak 2008?

Merekalah yang paling banyak menerima kesan kenaikan kos sara hidup.

Bagaimana pula dengan kenaikan mendadak premium tanah yang menyebabkan kenaikan harga rumah dan premis perniagaan?

Majoriti penduduk Selangor yang tinggal di bandar paling merasai impak kenaikan mendadak harga hartanah dan kadar sewa di Selangor kerana dasar kerajaan negeri.

Meskipun negeri lain juga mengalami kenaikan kos sara hidup, ia tidak sebesar seperti di Selangor dan Pulau Pinang.

Kedua-dua negeri ini mengalami kenaikan tertinggi kos sara hidup selari dengan kenaikan cukai berkaitan hartanah sejak Pakatan mengambil alih kerajaan negeri pada 2008.

Dalam penafian mereka, Pejabat MB juga menyatakan bahawa cukai berkaitan hartanah tidak meningkat dalam tempoh 14 tahun.

Ini tidak masuk akal.

Jika ia benar, dari mana datangnya kutipan pendapatan yang besar daripada cukai di atas?

Ketika berucap membentangkan Bajet 2018 Selangor, Azmin berkata, kerajaan negeri mengutip pendapatan cukai kira-kira RM2.25 bilion.

Dan dalam ucapan beliau sendiri beliau menyatakan yang 77 peratus atau RM1.7 billion daripada kutipan ini adalah daripada hasil tanah, ini termasuk cukai hartanah dan yuran berkaitan premis perniagaan.

Ketika pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN), kadar cukai yang dikutip daripada sumber di atas adalah kurang 20 peratus daripada itu iaitu kira-kira RM330 juta.

Dan berdasarkan laporan Ketua Audit Negara ia juga bukannya kerana peningkatan kecekapan kutipan cukai oleh kerajaan negeri.

Ia adalah kerana kenaikan pentaksiran cukai yang mendadak dan pengenalan cukai-cukai baru oleh kerajaan negeri.

PH NAIKKAN CUKAI NEGERI

Selepas mengambil alih daripada BN, kerajaan pakatan di Selangor dan Pulau Pinang memutuskan untuk meningkatkan pendapatan dengan menaikkan cukai berkaitan hartanah, termasuk premium tanah dan cukai pengezonan semula.

Sejak itu, kenaikan kutipan cukai kerajaan negeri di kedua-dua negeri ini mencecah sehingga 400 peratus.

Cukai pengezonan semula sudah melonjak naik sehingga 50 peratus manakala premium tanah sehingga 300 peratus.

Laporan Ketua Audit Negara menunjukkan, kenaikan hampir dua kali ganda kutipan keseluruhan premium tanah antara 2009 dan 2010 di Selangor.

Trend peningkatan ini berterusan untuk tempoh lima tahun seterusnya.

Di Pulau Pinang, antara tahun 2008 dan 2009, kutipan premium tanah juga meningkat hampir tiga kali ganda daripada RM19 juta kepada RM54 juta dalam tempoh setahun selepas Pakatan mengambil alih pentadbiran.

Pada 2015, kerajaan negeri Pulau Pinang mengutip RM414 juta cukai premium tanah iaitu peningkatan lebih 20 kali ganda dalam masa kurang daripada tujuh tahun.

Kutipan cukai berkaitan perumahan dan hartanah di Selangor dan Pulau Pinang ini adalah yang paling tinggi di Malaysia.

Di negeri-negeri yang ditadbir BN sebelum ini, kadar kutipan cukai berkaitan hartanah adalah lebih rendah dibandingkan di Pulau Pinang dan Selangor.

Contohnya, pada 2016, Kedah mengutip sejumlah RM262 juta bagi cukai berkaitan hartanah, Perak (RM385 juta), Johor (RM720 juta) dan Pahang (RM297 juta).

CAJ PEMBANGUNAN LEBIH TINGGI

Pada November 2010, kerajaan Pakatan di Selangor memperkenalkan Peraturan Yuran Pembangunan yang mengenakan caj sebanyak 20 hingga 30 peratus ke atas semua pembangunan hartanah termasuk bagi perumahan dan hartanah komersial.

Ini meningkatkan lagi kos dan harga projek perumahan baharu.

Di Kuala Lumpur, tidak dinafikan cukai hartanah juga tinggi.

Bagaimanapun, Kuala Lumpur hanyalah kawasan yang kecil berbanding negeri lain seperti Selangor dan kebanyakan penduduk yang bekerja di Kuala Lumpur tidak bermastautin atau membeli rumah di Kuala Lumpur kerana mereka tinggal di Selangor.

Sebab itu ketika siang seramai tiga juta orang berada di sekitar Kuala Lumpur tetapi jumlah ini menurun kepada kira-kira satu juta selepas waktu pejabat.

Di Shah Alam dan Subang di Selangor, kerajaan Pakatan meningkatkan cukai taksiran sebanyak 10 kali ganda sejak beberapa tahun lalu ke atas penduduk di Kampung Baru Sungai Buloh dan Kampung Baru Subang yang dikutip oleh Majlis Perbandaran Shah Alam (MBSA).

Dalam satu kes, seorang penduduk yang membayar cukai taksiran RM1,470 pada 2011 diminta membayar RM23,040 pada 2013.

Di Pulau Pinang, caj pembangunan yang sebelum ini RM5 satu kaki persegi bagi unit kediaman dan RM7 sekaki persegi bagi unit komersial sebelum 2008, meningkat tiga kali ganda kepada RM15 sekaki persegi dan RM21 sekaki persegi selepas 2008.

Malah, sumbangan yuran perparitan sebanyak RM10,000 seekar ketika pentadbiran BN dinaikkan kepada RM50,000 seekar oleh kerajaan negeri Pakatan.

Semua caj ini mendorong kepada kenaikan harga rumah di Pulau Pinang dan pembeli rumah yang terpaksa menanggungnya.

Peningkatan ketara perolehan cukai hartanah yang dikutip kerajaan Selangor dan Pulau Pinang ini adalah sebenarnya datang daripada saku penduduk di kedua-dua negeri ini yang dikenakan cukai setinggi 10 ke 20 kali ganda sekarang berbanding ketika pentadbiran BN.

Peningkatan cukai berkaitan hartanah telah menyebabkan kesan domino ke atas kos sara hidup di Selangor dan Pulau Pinang.

Ia meningkatkan harga rumah dan premis perniagaan yang seterusnya membawa kenaikan harga barangan dan perkhidmatan dan mengurangkan pendapatan penduduk di kedua-dua negeri itu untuk berbelanja.

Rakyat semakin tertekan.

Kita perlu buat sesuatu.

Dr. Isham Jalil merupakan Presiden Sukarelawan Malaysia
Pandangan penulis tidak semestinya melambangkan pendirian Watan Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.