DANA POLITIK : HADI GESA SPRM SIASAT DAP, PAN

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajar menyiasat sumber dana yang diterima DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) bagi perbelanjaan dalam pilihan raya umum ke -14 (PRU-14) lalu, ujar Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata PAS sentiasa bersedia dan terbuka untuk mendedahkan sumber dana mereka seandainya tindakan sama turut dijalankan badan bebas berkenaan terhadap mana-mana parti politik lain di negara ini.

“Patutnya kena tanya parti lain dari mana dapat duit, jangan tuding jari kepada kita sahaja. Kita ada sumber kita, parti lain mana sumbernya, cuba beritahu?

“Cawangan dia pula banyak mana? PAN dan DAP mana ada cawangan. Dia bertanding begitu sahaja jadi dari mana dia dapat? Yang itulah kena siasat.

“PAS mahu jadi parti yang bersih, terpulang kepada SPRM untuk siasat cuma kita harap dia berlaku adil. Kita tahu ada parti politik yang tak mahu undang-undang ini sebab takut tetapi kita tidak,” katanya kepada pemberita di kediamannya di Rusila, Terengganu pada Jumaat.

Abdul Hadi turut memberi jaminan, kerjasama penuh akan diberikan kepada SPRM sepanjang proses siasatan ke atas mana-mana pemimpin PAS mahu pun parti itu sendiri, tanpa sebarang rasa gentar.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.