KERJASAMA UMNO-PAS BUKAN WAYANG

Kerjasama perpaduan yang terbentuk antara UMNO – PAS kini terutama dalam isu-isu berkepentingan Islam dan orang Melayu bukan suatu sandiwara atau ‘wayang’ politik.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kerjasama UMNO dan PAS bukan sebuah wayang politik tetapi sebuah usaha yang dibina atas dasar prinsip kebersamaan dan perpaduam umat Melayu Islam.

“Jika ia (kerjasama UMNO-PAS) hanya sandiwara atau wayang politik, itu adalah sejarah. Kalau kita (UMNO-PAS) mahu mengambil alih (kerajaan), kita mesti ikhlas dan mengambil keputusan bersama demi Islam, Melayu dan negara serta jangan ada agenda tersembunyi.

“Kita mahu melihat perubahan dan semua itu mesti dilakukan dengan penuh keikhlasan. Kali ini, UMNO benar-benar ikhlas dan saya yakin PAS juga ikhlas (bekerjasama) demi menjaga kepentingan ummah, agama serta kepentingan bersama,” katanya ketika menjadi panel bersama Yang Dipertua PAS Kawasan Bagan Datuk yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Misbahul Munir Masduki, pada Wacana Pemimpin ‘Kerjasama PAS-UMNO, Sejauh Mana?’ di Dewan Utama, Kompleks UMNO Bagan Datuk, dekat Sungai Sumun, di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, agenda kerjasama UMNO-PAS penting kerana turut merupakan kehendak dan kemahuan rakyat yang merasakan kedua-dua parti terbabit memiliki kekuatan berdepan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lagi sudah ada rundingan untuk kerjasama PAS dan UMNO tetapi PAS membuat keputusan kekal sendiri.

“Barisan Nasional (BN) kalah PRU-14 sebab pertandingan tiga penjuru sama ada di kerusi Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri (DUN), dan inilah harga yang kita bayar dengan mahal. Kita mengakui kesilapan sebab keputusan tidak muktamad,” katanya.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.