MAKLUMAT AKADEMIK PALSU TAMPARAN BUAT PH

Satu sejarah hitam telah dilakar dalam pentadbiran kerajaan Malaysia baharu Pakatan Harapan (PH) status ijazah dimiliki Timbalan Menteri Luar yang juga Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Marzuki Yahya didedahkan sebagai palsu.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia, YB Mohd Shahar Abdullah berkata membekalkan maklumat palsu merupakan suatu kesalahan yang amat besar dalam mana-mana organisasi apatah lagi sekiranya perkara itu benar membabitkan ahli pentadbiran kerajaan.

“Kita telah dididik daripada sekolah rendah lagi diajar menghantar borang membekal maklumat diri yang tepat dan sahih dan ada organisasi yang meletakkan peraturan sekiranya maklumat yang diberikan tidak benar maka dengan rela si pelaku itu akan dikenakan tindakan kesalahan membekalkan maklumat palsu.

“Sekiranya perkara ini berlaku di kalangan anggota pentadbiran kerajaan ia adalah satu sejarah hitam bagi sebuah kerajaan Malaysia baru, kerana kerajaan telah menunjukkan satu sifat kepada khalayak khususnya anak muda berkaitan sikap tidak berintegriti dan bertanggungjawab membekal maklumat palsu”, katanya dalam kenyataan kepada media pada Jumaat.

Shahar yang juga Ahli Parlimen Paya Besar berkata isu maklumat palsu ini perlu tiambil tindakan tuntas bagi mengelak pandangan masyarakat antarabangsa mengenai status kesahihan maklumat di negara ini.

“Sebagai pemimpin pentadbiran , kita tidak boleh membekalkan maklumat yang salah atau palsu. Hakikatnya kita diajar, dididik dan membuat akujanji bahawa apa jua borang yang diisi mestilah maklumat yang benar, jika ini berlaku dan tidak diambil tindakan ia satu sejarah hitam bagi Malaysia dan dianggap sebagai masyarakat yang tidak mementingkan maklumat benar.

“Jika pemimpin parti tertentu menganggap menipu itu bukan satu kesalahan yang besar maka pihak tersebut mempunyai kecelaruan dalam fahaman mereka. Jangan kita menegak benang yang basah. Sepatutnya mereka mengambil inisiatif agar mendesak pimpinan parti mereka agar mengambil tindakan apa yang berlaku”, tegas beliau.

Kes penipuan akademik Setiausaha Agung PPBM itu timbul apabila seorang warganet mendedahkan bahawa program pengajian jarak jauh (PJJ) Pentadbiran Perniagaan, di Universiti Cambridge, untuk ijazah sarjana muda, yang diikuti Marzuki sebenarnya palsu dan tidak pernah wujud.

Susulan itu, beberapa pihak menggesa pihak polis menyiasat Marzuki atas dakwaan memalsukan kelayakan akademik.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.