UMNO TEWAS KERANA BONGKAK-TOK MAD

Timbalan Presiden yang menjalankan tugas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan tindakan memandang sepi pandangan golongan muda ketika mentadbir kerajaan menjadi penyumbang utama kepada tersungkurnya Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) lalu.

Beliau berkata sikap bodoh sombong yang merasakan diri terlalu benar ketika menyandang jawatan menjadi punca BN ditolak oleh golongan muda yang merasakan suara mereka dipandang sinis.

“Ini antara sebab kecundang. Dahulu orang bagi pandangan, kita ‘ceh’ kan saja. Kita buat tidak tahu.

“Tindakan itu adalah salah kerana pandangan dan teguran itu satu ilmu yang patut didukung. Tak dengar cakap orang. Dahulu dengan jawatan masing-masing, cakap orang bawahan tak nak dengar.

“Kitalah yang arif, akhirnya kita kecundang. Sikap bodoh sombong ini tak ke mana,” katanya dalam satu program di Dewan Karangkraf, Shah Alam pada Jumaat.

Dalam perkembangan sama, Mohamad mengakui manifesto BN turut menjadi punca kekalahan pada PRU-14 lalu memandangkan ia tidak se’gah’ manifesto yang dibawa PH.

Walaubagaimanapun beliau tetap menyelar tindakan PH yang masih gagal menunaikan manifesto mereka sehingga kini.

“UMNO masih dapat sokongan Melayu cuma strategi dan manifesto yang tidak betul. Kita buat apa yang kita nak, bukan seperti bentangkan belanjawan tahunan.

“PRU-15, kita akan buat macam-macam janji, bagi bulan bintang sebab manifesto bukan janji,” katanya dengan nada menyindir.

Mohamad turut menyerahkan kepada rakyat dan akar umbi parti untuk menilai sama ada beliau merupakan calon tepat bagi memimpin UMNO keluar daripada belenggu masalah untuk kembali diterima rakyat.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.