SEMAK BORANG SEBELUM PENAMAAN-SPR

Bakal calon yang bercadang untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN N.24 Semenyih, Selangor digesa mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang pencalonan sebelum Hari Penamaan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata perkara tersebut boleh disemak di Pejabat Pegawai Pengurus iaitu di Pejabat Majlis Perbandaran Kajang atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Selangor

Katanya semakan awal ini adalah untuk memastikan semua bakal calon mengisi borang tersebut dengan betul dan menepati syarat serta kelayakan yang ditetapkan bagi mengelakkan berlakunya kesilapan pengisian borang sebelum Hari Penamaan Calon.

“Langkah ini dapat menjamin proses penamaan calon pada Hari Penamaan Calon berjalan lancar dan mengikut tempoh masa yang ditetapkan.

“Malah ia juga dapat memberi peluang kepada parti-parti yang calonnya didapati tidak layak semasa semakan awal untuk membuat persiapan sewajarnya pada Hari Penamaan Calon,” katanya melalui kenyataan pada Isnin.

Seterusnya, Azhar menegaskan bahawa Kertas Penamaan Calon yang telah lengkap diisi dan disemak oleh Pejabat Pegawai Pengurus Pilihan Raya atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Selangor itu hendaklah dikemukakan oleh bakal calon atau penyokong atau pencadangnya kepada Pegawai Pengurus semasa Hari Penamaan Calon di Pusat Penamaan Calon yang telah ditetapkan oleh SPR pada Sabtu, 16 Februari 2019.

“Selain daripada itu, bakal-bakal calon juga turut digesa untuk membuat pembayaran deposit (deposit pilihan raya dan deposit bahan kempen) lebih awal.

“Bakal-bakal calon juga adalah diminta untuk mengambil pas-pas calon, pencadang dan penyokong selepas bayaran deposit dibuat bagi tujuan kebenaran memasuki Pusat Penamaan Calon. Ini adalah untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan berjalan lancar pada Hari Penamaan Calon kelak,” katanya.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.