FOKUS HALATUJU PEMBANGUNAN SUKAN BUKAN F1

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyelar hasrat Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mahu menganjurkan semula perlumbaan sukan permotoran Grand Prix Formula Satu (F1).

Katanya tindakan tersebut sangat kontradiktif dengan kenyataan dan tindakan mengurangkan berbagai peruntukan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) konon akibat negara sedang dibelenggu hutang yang besar.

“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sering melaungkan tentang hutang negara yang tinggi sehingga banyak peruntukan kerajaan terpaksa dipotong.

“Rakyat juga telah diminta untuk memahami ‘masalah’ yang dihadapi kerajaan dan kononnya juga kerajaan memerlukan masa sehingga tiga tahun untuk memulihkan semula keadaan ekonomi negara,” katanya di kenyataan media di facebook pada Rabu.

Sebagai rekod, Malaysia tidak melanjutkan kontrak penganjuran perlumbaan F1 selepas perlumbaan kali terakhir pada tahun 2017 atas faktor kos penganjuran yang tinggi iaitu antara RM200 juta sehingga RM300 juta setahun serta pulangan yang terus menurun saban tahun.

Mengulas lanjut, Khairy yang juga ahli Parlimen Rembau turut berkata negara perlu memberi fokus kepada kebajikan atlet serta pembangunan sukan secara menyeluruh.

“Ada atlet yang perlu menampung sendiri kos latihan termasuklah membayar sendiri jurulatih mereka. Latihan luar negara juga ada yang tidak diluluskan. Elaun sara hidup atlet juga telah dikurangkan.

“Terdapat atlet negara yang tidak disambung kontrak dan telah bersara pada usia muda sehingga terpaksa menjual jambu di tepi jalan dan menjalankan perniagaan gunting rambut walaupun pernah menyumbang pingat emas di peringkat antarabangsa.

“Sebelum ini, Program Podium yang telah dibatalkan dan digantikan dengan program baharu telah menyaksikan ramai kakitangan kontrak dalam kepakaran sains sukan di Institut Sukan Negara (ISN) tidak disambungkan semula,” bidasnya lagi.

Justeru, Khairy berkata tindakan penganjuran semula F1 itu jelas merugikan pembangunan sukan serta atlet sukan dan hanya berdasarkan kepentingan tertentu.

“Tangani terlebih dahulu masalah yang dihadapi oleh atlet dan badan sukan di negara ini.

“Sedang banyak negara penganjur perlumbaan F1 sedang berkira-kira untuk tidak meneruskan kontrak penganjuran mereka atas faktor yang sama, pentadbiran Perdana Menteri ketika ini masih lagi dengan nostalgia dongeng abad ke-20.

“Pakatan Harapan, ‘please set your priorities straight. F1 is not one of them’,” tegas beliau.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.