SAH 16 RAKYAT MALAYSIA DITAHAN DI INDONESIA

Kementerian Luar mengesahkan penangkapan seramai 16 orang warganegara Malaysia di Palembang, Sumatera Selatan, Indonesia pada 9 Januari lalu atas dakwaan menyalahguna visa sosial ke negara tersebut.

Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata, pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Medan telah mengadakan lawatan konsular sebanyak tiga kali pada 16 dan 21 Januari serta 14 Februari lalu bertujuan memastikan aspek-aspek kebajikan, keperluan asas dan kemudahan perubatan kepada para tahanan sentiasa terpelihara.

Menurut kenyataan itu, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah juga telah mengutus surat kepada rakan sejawat beliau, Ibu Retno L.P. Marsudi pada 18 Februari lalu bagi meminta kerjasama kerajaan Indonesia untuk memberi perhatian kepada isu-isu kebajikan dan kesihatan para tahanan serta mempercepatkan proses perundangan bagi individu terlibat.

“Sehubungan itu, Konsul Jeneral Malaysia di Medan akan mengadakan satu lagi lawatan konsular dalam masa terdekat untuk mengadakan perbincangan dengan pihak pendakwa raya dan pengadilan Palembang bagi memudah dan mempercepatkan proses perundangan,” katanya.

Tambah kenyataan itu, Kementerian Luar Negeri sentiasa berusaha memastikan kebajikan warga Malaysia yang ditahan di luar negara sentiasa diberi keutamaan.

Katanya, rakyat Malaysia adalah diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan imigresen negara yang akan mereka lawati dengan memohon visa yang bersesuaian dengan tujuan lawatan.

“Kerajaan Malaysia sentiasa menghormati perundangan Republik Indonesia dan tidak akan campur tangan di dalam urusan perundangan tersebut.

“Kerajaan juga menghargai segala kerjasama yang diberikan oleh kerajaan Republik Indonesia dalam memudahkan urusan konsular kepada semua tahanan,” katanya.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.