PRK SEMENYIH: DUA PUSAT UNDI AWAL DIBUKA ESOK

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun mengesahkan dua pusat pengundian awal akan dibuka esok untuk membolehkan 858 pengundi awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Beliau berkata seramai 761 orang anggota Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasangan akan mengundi di Pusat Mengundi di Dewan Serbaguna Batallion 4 PGA Semenyih.

“Sebahagian lagi iaitu 93 orang pengundi awal yang terdiri daripada anggota polis PGA sudah mengundi secara pos,” katanya yang turut menjelaskan seramai 97 anggota keselamatan lagi akan mengundi di Discress Room, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

Majoriti daripada keseluruhan 951 orang pengundi di DUN Semenyih merupakan pihak beruniform dan anggota keselamatan.

Mengulas lanjut Azhar berkata pusat pengundian awal dibuka mulai jam 8 pagi hingga 5 petang kecuali bagi pusat mengundi di Discress Room, IPD Kajang yang ditutup pada jam 2 petang.

“Proses pengundian awal itu akan disaksikan oleh setiap ejen calon yang bertanding.

“Di samping itu, pemerhati pilihan raya daripada wakil organisasi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik oleh SPR juga akan menyaksikan proses berkenaan.

“Kertas-kertas undi awal itu tidak akan dikira di tempat mengundi esok, sebaliknya peti-peti undi awal akan disimpan di tempat yang selamat iaitu di lokap-lokap balai polis,” katanya melalui kenyataan pada Isnin.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.