PRK RANTAU: SPR MESYUARAT RABU INI

Satu mesyuarat khas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan diadakan pada Rabu ini bagi membincangkan urusan berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Setiausaha SPR, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar berkata, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun itu akan turut membincangkan mengenai tarikh-tarikh penting berkaitan PRK tersebut.

Katanya mesyuarat khas itu akan diadakan di Ibu Pejabat SPR di Putrajaya.

“Mesyuarat Khas tersebut akan membincangkan mengenai tarikh-tarikh penting urusan PRK seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian awal, hari pengundian dan daftar pemilih yang akan digunakan dalam pilihan raya itu.

“Selain ia juga membincangkan persiapan-persiapan lain yang diperlukan bagi melaksanakan pilihan raya itu. Satu sidang media akan diadakan sejurus mesyuarat selesai,” katanya melalui kenyataan pada Isnin.

Pada 16 November lalu, Mahkamah Pilihan Raya Khas di Seremban memutuskan kemenangan bekas menteri besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan di kerusi DUN Rantau batal dan tidak sah.

Ini berikutan petisyen difailkan calon PKR, Dr. S. Streram pada 23 Mei untuk mencabar pengisytiharan kemenangan Mohamad yang dibuat SPR.

Dr. Streram, 63, memfailkan petisyen itu selepas beliau tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon kerana tiada pas calon SPR.

Usaha Mohamad Hasan untuk mengetepikan keputusan mahkamah tersebut turut tidak berhasil apabila Mahkamah Persekutuan menolak permohonan beliau pada 16 November lalu.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.