UMNO – PAS: PPBM SEPERTI JANDA YANG CEMBURU

Kerjasama antara UMNO dan PAS merupakan sebuah khabar gembira yang sememangnya ditunggu-tunggu sejak sekian lama oleh masyarakat Melayu-Islam dan rakyat negara ini.

Penyatuan kerjasama antara dua parti tersebut bukan sahaja bertindak menyatupadukan kaum Melayu, malah turut mengukuhkan kuasa politik bagi menjadi penyambung lidah kepada rakyat Malaysia yang kian tertekan di bawah pentadbiran kerajaan kakistokrasi Pakatan Harapan (PH).

Maka tidak hairan apabila pengumuman kerjasama rasmi antara dua parti terbesar kaum Melayu itu membuat gusar para pimpinan PH terutamanya PPBM sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan tidak beradab semata-mata untuk melihat agenda penyatuan tersebut tidak berjaya dilaksana.

Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Rais Hussin Mohamed Ariff yang tidak senang dengan perkahwinan UMNO dan PAS melabelkan ia sebagai satu ‘sumbang mahram’.

Beliau menyatakan bahawa dengan penyatuan ini, UMNO dan PAS “bersedia untuk melahirkan anak haram dari perkahwinan politik mereka yang dilangsungkan bagi kepentingan kedua-dua pihak”.

Pada Rais, penyatuan dua-dua parti ini adalah berlandaskan selera mereka terhadap penipuan, korupsi, kemewahan dan pencurian.

Rais melihat penyatuan ini melalui kaca mata dan survival politik kepartian semata-mata.

Memandangkan tidak ada hujah yang jelas dan kuat, beliau memilih pendekatan jelik iaitu membalut semua perkara dengan memetik konteks dan hukum agama yang dengan tegas dan jelas tidak terpakai dalam perkara ini.

Saya tidak pasti sejauh mana beliau sedar dan faham akan hukum tindakan memanipulasikan hukum agama sebagai analogi politik yang terpesong dari konteks yang sesuai. Menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal.

UMNO-PAS baru duduk berbincang dan bertentang mata di pentas umum tetapi nampaknya BERSATU pula yang terlebih ghairah sampai mengelamun hingga ke kamar kelamin dan aksi atas katil pengantin.

BUKAN SUMBANG MAHRAM

Penyatuan UMNO-PAS bukan sumbang mahram. Ia adalah pembukaan lembaran baharu terhadap usaha rentas parti, bagi mengupayakan bangsa kita supaya berlaku kerjasama dan penyatuan Melayu-Islam dalam pelbagai bidang di kemudian hari.

Tindakan Rais sangat tidak berhikmah dan menunjukkan ketidakfahaman yang kronik terhadap senario politik jangka panjang Melayu – Muslim di negara ini.

Rais pasti enggan melihat penyatuan UMNO dan PAS dalam konteks yang lebih besar kerana beliau tahu dampak penyatuan ini pada PPBM.

Jangan cuba mengheret analogi sumbang mahram yang langsung tidak mengena itu, Rais mesti memikirkan kembali perpecahan kuasa politik Melayu-Islam serta masa depan orang Melayu.

Jangan pula ditanya mengapa penyatuan ini baru berlaku sekarang. Lihat dan fikir sendiri tentang realiti hari ini.

Di manakah silap ibu mengandung, apabila bangsa yang sama agama, budaya dan bahasa, seakan dua arus selari tetapi enggan bertemu meskipun mengalir di dalam sebuah sungai yang menuju hilir yang sama.

Dahulu, orang Melayu merupakan orang yang spiritual. Tindak tanduknya di dalam hal ehwal politik, ekonomi, perkahwinan dan kematian semuanya bersendikan Syarak. Tidak pernah melupakan tuntutan rohaniah di dalam segenap usaha untuk memakmurkan duniawi.

Lebih malang, saat kita melangkah ke abad ke-21, umat Melayu – Islam di bumi ini sudah semakin hilang kuasa dan hilang jati diri dek kerana badai modenisasi yang menyelinap masuk ke dalam naratif politik, ekonomi dan sosio-budaya mereka.

MELAYU DITEKAN LUAR DAN DALAM

Orang Melayu kini dilihat semakin terpinggir di tanah airnya sendiri.

Yang bergaji tidak kunjung naik, yang berniaga sudah semakin rugi dan yang beranak-pinak pula semakin risau dengan kos pendidikan zuriat mereka.

Bebanan yang ditanggung di atas pundak itu belum pula mengambil kira cemuhan, cercaan dan sindiran tentang cara hidup, pemikiran dan identiti mereka lantaran sudah kehilangan kuasa politik dan ekonomi.

Maka kerana itu UMNO dan PAS bergerak demi pengupayaan bangsa dan demi kebaikan semua, kerana hanya mereka yang berani sahaja mampu melakar sejarah yang penting ini.

Kini UMNO dan PAS telah menemui formula ampuh untuk memandu kebangkitan orang Melayu di tanah mereka sendiri.

Nasionalisme Melayu, dipacu dengan agama Islam serta penekanan terhadap kepentingan pendidikan dan ekonomi akan terus menjadi penyelesaian kepada permasalahan mendatang sebagaimana yang dimulakan oleh alim-ulama tersohor kita dahulu ketika Persidangan Agung Ekonomi – Agama Se-Malaysia, di Maahad Al-Ehya Asshariff, Gunung Semanggol, Perak Darul Ridzuan.

Roh dan semangat mereka dalam memartabatkan orang Melayu serta agamanya haruslah dijadikan asas kepada penyatuan ini, dan hanya dengan penyatuan dan kesefahaman politik sajalah wawasan tersebut dapat direalisasikan kembali.

HENTI BERCAKARAN, MASANYA UNTUK BANGKIT

Dahulunya, naratif nasionalisme dan pembangunan UMNO serta naratif Islam dan konservatif PAS tidak pernah dan seakan mustahil untuk disatukan.

Dua kembar politik ini, telah mewujudkan seribu satu pemisahan dan jarak yang berdepa-depa di antara Melayu berkopiah putih dan Melayu bersongkok hitam.

Mereka hadir di majlis tahlil yang berbeza, solat di masjid yang berlainan dan berkahwin dengan pasangan yang hanya sekutu di dalam politik sahaja.

Sudah ramai umat Melayu dan Islam yang rugi akibat perpisahan ini.

Luluh hati wira dan wirawati nasionalis kita, dan masyghul jiwa alim-ulama kita, jika di dalam senario politik sekarang pun, kita masih lagi tidak bersatu. Masih terus mencari perbezaan dan masih terus mengungkit-ungkit kisah silam.

Tidak ubah seperti anak-anak kecil di bangku sekolah yang berebutkan gula-gula kapas tetapi terbawa-bawa sehingga kedua-dua sudah berjanggut putih.

Inilah masa kita bersatu dan membawa kembali kebaikan kepada bangsa. Sampai bila mahu memecah-belahkan bangsa sendiri. Kita mesti bersama-sama untuk memberikan sumbang saran agar idea terbaik dapat diterjemahkan kepada kebaikan bangsa dan negara.

Meskipun sesetengah penyokong mereka telah melabel Tun Dr. Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pemegang kepada kunci kesedaran politik Melayu, ini sama sekali tidak benar.

Kunci kesedaran yang sebenar selama ini adalah dimiliki dua parti gergasi Melayu dan Muslim – UMNO serta PAS, bukan dua personaliti yang sudah mengkhianati bangsanya sendiri dengan bekerjasama dengan DAP dan PKR-parti yang dipimpin oleh sekumpulan individu yang sangat mereka musuhi, benci dan hina dengan kejam suatu masa dahulu.

Jika guna kembali analogi terdesak seperti Rais, PPBM ini tidak ubah seperti janda UMNO yang kini menjual maruah dan meniduri lelaki lain secara beramai-ramai semata-mata agar bekas suaminya dapat dibunuh dan tidak dapat berkahwin dengan orang lain.

Barangkali janda yang cemburu dan kegilaan talak merupakan gelaran paling sesuai dapat diberikan kepada PPBM.
Yang pasti ‘bunga’ seperti ini memang tidak layak dipetik dan dipinang sebagai pasangan apatah lagi dinikahi dan ditiduri.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

Oleh: Syakirin Daud

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.