MCA, MIC KEKAL BERSAMA BN

Mesyuarat tertinggi Barisan Nasional (BN) pada pagi Jumaat sepakat untuk menolak resolusi perhimpunan agung tahunan MCA yang mencadangkan untuk BN dibubar.

Timbalan Presiden BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata tiada sebarang konsensus dicapai dalam isu pembubaran BN.

Walaubagaimanapun beliau menjelaskan satu jawatankuasa akan ditubuhkan bagi menstruktur kembali gerak kerja gabungan parti-parti komponen BN sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) kelak.

“Penubuhan jawatankuasa ini juga selaras dengan resolusi yang dibentangkan oleh MCA iaitu membubarkan BN dan satu kajian menstruktur jawatankuasa mesti diadakan bersama-sama untuk melihat cara gerak kerja bagi menyediakan parti sebagai persediaan berhadapan PRU-15.

“Datuk Wee Ka Siong telah membentangkan secara terperinci bagaimana resolusi itu terjadi. Mesyuarat BN mencapai kata sepakat tidak ada konsensus untuk membubarkan BN tapi kita memandang serius saranan dalam resolusi itu.

Tambah Mohamad Hasan, saranan serta kritikan membina daripada MIC turut diambilkira dalam usaha memperkukuhkan perpaduan yang terbentuk dalam blok tersebut.

“MIC juga banyak membentangkan rasa ketidakpuasan hati tentang isu-isu semasa dalam BN semasa menjadi kerajaan. Tidak banyak berkaitan BN tetapi pihak eksekutif. Apa yang dilakukan eksekutif melemahkan MIC dengan bantuan secara terus kepada warga India, tidak melalui MIC.

“Ini kita ambil perhatian untuk melihat pentadbiran di peringkat negeri dan Parlimen. Tidak ada lagi pihak yang akan berasa kecil hati atau dipinggirkan atau ada pihak yang berada dominan dan lain-lain,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi BN di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Dalam perkembangan sama, Mohamad Hasan berkata UMNO turut membentangkan kerjasama yang dijalinkan bersama PAS kepada rakan-rakan komponen BN yang lain.

“UMNO juga membentangkan kerjasama UMNO bersama PAS atas isu penyatuan ummah dan ia dijalankan atas UMNO dan PAS. MIC dan MCA faham apa yang hendak kita buat dan menyokong perkara ini.

“Kita bukan lagi dalam kerajaan jadi setiap parti perlu memperkasakan parti masing-masing. Atas persefahaman inilah setiap parti diberi ruang untuk bergerak sendiri sama seperti MCA dulu bila kita bagi bagi bertanding dalam PRK guna logo sendiri,” katanya.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.