MCA, MIC SOKONG KERJASAMA UMNO-PAS

MCA dan MIC kini bersetuju dengan kerjasama rasmi UMNO-PAS bagi tujuan mengukuhkan kekuatan pembangkang.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata kerjasama tersebut dapat diterima selagi tidak bertentangan dengan dasar perjuangan Barisan Nasional (BN).

“Pendirian MCA amat jelas. Kita mendukung semangat dan prinsip dalam BN yang wujud sejak sekian lama.

“MCA tiada masalah untuk bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk PAS demi kebaikan rakyat dan atas semangat sejagat,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato’ Onn pada Jumaat.

Dalam perkembangan sama, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran turut berkata MIC sememangnya tidak menghalang kerjasama UMNO dan PAS.

“MIC juga sebelum ini pernah menyuarakan pendapat berhubung isu ini. Kami memang tiada masalah, malah MIC boleh bekerjasama dengan PAS atas semangat pembangkang.

“Kerjasama UMNO-PAS sebenarnya tiada kena mengena dengan BN.

“Kebersamaan dua parti itu atas dasar ummah, malah PAS pun bukan menyertai BN,” katanya.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.