FOKUS ASPIRASI DAN TUNTUTAN RAKYAT – YDP AGONG

Pemimpin negara perlu mengambilkira dan mendengar tuntutan rakyat sebelum merangka sebarang dasar dan program untuk mereka, titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Seri Paduka Baginda bertitah rakyat kini mahukan sebuah kerajaan bertanggungjawab yang prihatin terhadap aspirasi mereka.

“Rakyat hari ini bukan sahaja mahukan pembangunan bahkan sebuah kerajaan yang bersih, telus, bertanggungjawab serta mendaulatkan undang-undang untuk membawa negara ke tahap lebih baik,” titah Sultan Abdullah ketika merasmikan Penggal Kedua Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada Isnin.

Turut berangkat ke istiadat pembukaan itu Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar.

Baginda turut menegaskan kewajipan memerangi rasuah yang cukup membebankan rakyat dan meruntuhkan asas sesebuah negara.

Katanya soal integriti dan nilai-nilai murni hendaklah terus menjadi faktor utama dalam mengejar kemajuan.

“Beta suka menzahirkan penghargaan atas usaha kerajaan memperkenalkan Pelan Anti Rasuah Nasional dan menggubal undang-undang berkaitan untuk memperkukuh tadbir urus,” titah Sultan Abdullah sambil berharap usaha yang dilakukan dapat memperbaiki kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.