GUAN ENG, KOR MING DIJEMPUT KE NEGERI PEMBANGKANG

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dijemput untuk datang sendiri ke negeri yang ditadbir UMNO dan PAS bagi melihat situasi masyarakat di sana, ujar Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan.

Beliau berkata PAS tidak pernah menzalimi kaum dan agama lain dalam negeri yang ditadbir mereka.

Justeru kenyataan yang dikeluarkan oleh dua pemimpin DAP itu jelas bersifat provokasi, biadap dan berbaur perkauman.

“Sikap DAP yang anti kepada penyatuan umat Islam adalah biadab dan keterlaluan.

“Guan Eng dan Kor Ming boleh hadir ke Kelantan, Terengganu, Perlis dan Pahang untuk meninjau kehidupan masyarakat di negeri yang diperintah oleh PAS dan UMNO.

“Malah ketika PAS berada dalam kerajaan negeri Selangor pada tahun 2008 sehingga 2018, PAS tidak sekali-kali menzalimi kepentingan agama dan kaum lain,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, beliau berkata PAS ingin rakyat melihat sendiri ‘wajah’ sebenar DAP yang penuh dengan perasaan amarah, benci serta dendam terhadap penyatuan ummah sehingga tergamak melontaran pelbagai kenyataan negatif untuk memberi pandangan salah kepada masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

“Beberapa hari lalu Kor Ming menyifatkan kerjasama penyatuan ummah UMNO dan PAS jika berjaya memerintah akan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Afghanistan yang diperintah oleh Taliban.

“Kenyataan biadab itu disuarakan selepas Guan Eng menyifatkan kerjasama UMNO dan PAS umpama pengisytiharan perang terhadap golongan bukan Islam,” ujar beliau.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.