TAK PERLU TAKUT PENYATUAN UMNO – PAS

Pemimpin DAP tidak perlu merasa takut dengan penyatuan kerjasama secara rasmi yang diadakan oleh UMNO dan PAS sehingga melabelkan sebagai Taliban, tegas Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris.

Beliau yang juga dikenali sebagai ‘Papagomo’ berkata rentetan siri pelabelan oleh para pimpinan DAP itu sebenarnya menjadi sebab orang Melayu mahukan kesatuan yang utuh bagi mempertahankan hak mereka tanpa sebarang kompromi.

Walaubagaimanapun beliau berkata penyatuan tersebut tidak mendatangkan sebarang ancaman seperti yang telah dibuktikan dalam pelbagai siri himpunan aman yang disertai UMNO dan PAS sebelum ini.

“Orang Melayu telah bangkit dengan aman dan menolak keganasan seperti dibuktikan dalam himpunan 8 Disember 2018 yang mana ratusan ribu orang Melayu hadir membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

“Himpunan aman tanpa sebarang keganasan jauh lebih baik daripada himpunan BERSIH yang dipimpin oleh pemimpin DAP,” katanya melalui kenyataan pada Isnin.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda DAP, Howard Lee yang dianggap biadab serta kurang ajar kerana menyatakan penyatuan UMNO dan PAS adalah Taliban, sama seperti yang dituduh oleh Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming sebelum itu.

Dalam kenyataan sama, Papagomo turut menegaskan bahawa pelabelan tersebut jelas menunjukkan kepemimpinan DAP cuba mempertikaikan hak keistimewaan penganut Islam dan Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.