KERJASAMA LEBIH BAIK TANPA MAHATHIR

Kerjasama yang dijalin secara rasmi oleh UMNO dan PAS dilihat lebih kukuh berbanding yang pernah berlaku sebelum ini, ujar Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Syed Atif Syed Abu Bakar.

Katanya kerjasama ini berjaya dibentuk berikutan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang merupakan individu paling lantang mengkritik parti Islam itu sejak sekian lama kini sudah tidak terlibat dengan UMNO.

Beliau berkata sejarah panjang Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri keempat dahulu telah mencatat banyak peristiwa dan kenyataan yang menggambarkan kebencian Pengerusi Pakatan Harapan itu terhadap PAS.

“Sesungguhnya, rata-rata orang Melayu amat bersyukur dan gembira apabila PAS dan UMNO yang sekian lama berseteru memilih untuk bertolak-ansur dan berbaik semula.

“Dalam hubungan UMNO dan PAS, luka dan parut terlalu banyak maka tentunya masih ramai yang kekok, malu-malu dan mungkin rasa kurang selesa untuk duduk bersama dalam sebuah pasukan.

“Namun begitu, masing-masing meletakkan harapan yang tinggi agar usaha penyatuan ummah kali ini dijaga dengan baik dan berkekalan,” katanya kepada media di Arau, Perlis pada Selasa.

Mengulas lanjut, Syed Atif berkata usaha penyatuan ummah yang dilaksanakan oleh UMNO dan PAS perlu dikekalkan dan dijaga meskipun bakal menghadapi pelbagai jenis ‘serangan’ daripada pihak Dr. Mahathir dan Pakatan Harapan (PH).

“Biarlah Dr. Mahathir dan kawan-kawan baharunya (Pakatan Harapan) terus cuba memecah-belahkan kesatuan orang-orang Melayu.

“Apa yang penting, barisan kepemimpinan UMNO dan PAS kini menggalas harapan yang tinggi untuk melupakan segala sengketa lama dan melihat ke hadapan untuk kembali memuliakan Islam, memartabatkan kedudukan bangsa Melayu dan mendaulatkan raja-raja di tanah air tercinta ini,” katanya.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.