KERTAS SIASATAN GUAN ENG DIBUKA

Pihak polis mengesahkan telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang telah mengeluarkan kenyataan menyentuh sensitiviti kaum.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata polis telah menerima 58 laporan di seluruh negara sepanjang dua hari lalu berhubung isu berkenaan.

Mohamad Fuzi turut berkata beliau yakin jumlah tersebut akan meningkat dengan memperlihatkan kepada perkembangan terkini.

“Kita sudah buka kertas siasatan berhubung perkara ini selepas laporan polis dibuat minggu lalu.

“Kita akan panggil (Guan Eng) bila tiba masanya, buat masa ini saya dimaklumkan belum diambil keterangan, kalau sekiranya perlu pegawai penyiasat akan mengambil keterangan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan (SPS) di Pulau Pinang pada Selasa.

Terdahulu, media melaporkan kenyataan Guan Eng yang menyifatkan kerjasama rasmi antara UMNO dan PAS sebagai ‘pengisytiharan perang’ kepada masyarakat bukan Melayu.

Kenyataan tersebut kemudiannya ditarik kembali dan disunting setelah mendapat kecaman daripada masyarakat dan pelbagai pihak.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.